BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ

خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُون

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka . Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

(Al-An'am:32)

29.5.08

Coretan Pertama

Ku mulakan coretan pertama pada malam Jumaat 29 Mei 2008 pada jam 10:31 malam. Tiada apa yang menarik untuk ku perkatakan pada nukilan sulong ini kerana hari-hari yang ku lalui sejak ku mula bekerja hampir sama setiap hari melainkan pada 2 minggu yang lepas kerana pada masa itu bermula 12 -22 Mei 2008 aku sedang berkursus di Alor Setar, Kedah. Hampir 2 minggu meninggalkan isteri tercinta semata-mata untuk memenuhi tuntutan majikan yang tidak boleh tidak aku wajib hadir. Pada hari ini perjalanan pulang dari tempat kerja agak memenatkan. Apa tidaknya, dengan keadaan motor yang selalu bermasalah, aku terpaksa meredah melawan angin yang bertiup agak kencang menerjah dada. Aku tidak melajukan motor tunggangan ku...hanya sekitar 50km/j. Seperti biasa, sekitar jam 6 petang sampailah aku ke rumah yang terletak melebihi 20km (anggaran) dari tempat kerja.

Setelah selesai menyalin pakaian...ku terus mengadap komputer kesayangan ku. Menilik maklumat terkini berkaitan keadaan politik negara yang sering menjadi perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia; bukan sahaja negara-negara ASEAN bahkan seluruh dunia. Memang menarik..... Apa yang amat diharapkan agar 'iklim' politik Malaysia akan bertukar kepada satu suasana yang lebih baik dari yang sedia ada. Dalam pada itu, aku mengambil kesempatan untuk melayari web blog adik ku yang sedang menuntut di Mesir. Boleh dikatakan jika berkesempatan, akan ku jenguk juga nukilan dari beliau. Kerana penting bagi kami di sini terutamanya mak dan ayah untuk mengetahui mengenai perkembangan dirinya di Mesir sana.

Membaca coretannya yang bertarikh 28 Mei 2008....ada sesuatu yang mengusik hati. Ingin ku menjawab di sini, manusia hanya berusaha tapi yang menentukannya adalah Sang Pencipta yang Maha Kuasa. Setiap manusia yang telah berkahwin sudah pastinya begitu berkehendakkan anak walaupun seorang. Tetapi, semuanya bergantung kepada ketentuan Illahi. Itu adalah kerja-Nya....manusia hanya berusaha. Ku teringat satu kisah yang di ceritakan oleh salah seorang penceramah ketika berkursus di Alor Setar baru-baru ini berkaitan salah seorang sahabatnya yang telah menjangkau 15 tahun usia perkahwinan tetapi masih belum dikurniakan anak sehinggalah masuk tahun ke-16.....beliau dikurniakan anak kembar! Begitu juga dengan kakak kepada kawan isteri ku yang telah 3 tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak sehinggalah dengan berkat kesabaran mereka....Allah kurniakan 3 orang anak sekaligus (kembar tiga!). Kesimpulannya, itu adalah kerja Allah yang dengan izin-Nya sahajalah sperma berjaya bercantum dengan ovum seterusnya membentuk plasenta dan peringkat kejadian manusia yang seterusnya.

Sebenarnya...ramai yang bertanya; "bini hang tak dak apa-apa lagi ka?". "Tak dak rezeki lagi", jawab ku ringkas. Aku memang tidak mahu memikirkan sangat hal ni. Biar Allah yang tentukan.....moga dikurniakan anak kembar.

Hmmm...dah jam 11 malam. Faham-faham je lah......