BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ

خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُون

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka . Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

(Al-An'am:32)
Showing posts with label aqidah dan tauhid. Show all posts
Showing posts with label aqidah dan tauhid. Show all posts

28.8.09

Persoalan Mengenai Kedatangan ROH

Beberapa Persoalan Mengenai Kedatangan Roh

Seorang kenalan telah bertanyakan saya tentang kebenaran dan hakikat yang didakwa oleh sesetengan daripada kita, bahawa datang kepada mereka beberapa roh wali-wali dan roh-roh itu berinteraksi dengan mereka. Bahkan dalam beberapa keadaan, roh-roh tersebut membantu mereka menyembuhkan penyakit dan mengajar mereka beberapa ilmu dan hikmat. Sebelum menjawab persoalan yang menyentuh akidah ini, saya ingin tujukan kepada golongan yang mempercayai akan kedatangan roh tersebut beberapa soalan. Antaranya ialah:-

1- Adakah mereka yakin dan mengetahui bahawa yang datang itu adalah roh, sedangkan mereka juga tidak mengenali roh? Dan Allah SWT pula berfirman: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, maka katakanlah: “Roh itu termasuk dalam urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberikan pengetahuan melainkan sedikit”. Surah al-Isra’:85. Kerana itu, apakah alamat yang membolehkan mereka kenal bahawa yang datang itu adalah roh?

2- Kalaulah benar roh yang datang, mengapa ia datang dan memasuki jasad orang lain, kenapa ia tidak datang kembali kepada jasadnya? Tidakkah lebih baik dan munasabah roh orang yang mati itu datang dan memasuki jasadnya, berbanding memasuki jasad orang lain?

3- Adakah benar roh orang yang mati itu boleh kembali dan memasuki mana-mana jasad yang ingin dimasukinya atau mana-mana jasad orang yang disuruh oleh pemanggilnya? Tidakkah ini bertentangan dengan fakta yang difahami daripada firman Allah SWT: Sehinggalah datang kepada salah seorang daripada mereka itu kematian, dia akan berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikan daku (ke dunia) {99} supaya aku dapat berbuat amalan salih (kebaikan) yang aku tinggalkan”. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkatan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan{100}. Surah al-Isra’: 99 dan 100. Ayat ini menerangkan bahawa sesudah kematian mereka berada di alam berzakh, iaitu satu kehidupan yang baru yang membatasi antara dunia dan akhirat.

4- Roh orang yang mati akan berada di alam barzakh. Itulah akidah kita orang Islam. Adakah roh yang sudah kembali ke alam barzakh boleh datang semula ke alam dunia, sedangkan dua alam ini berlainan? Tidakkah manusia dengan segala kecanggihan yang ada tidak mampu untuk kembali berada dalam alam rahim setelah keluar dari perut ibunya, sekalipun pada alam yang sama?

5- Alam barzakh bukan lagi tempat beramal. Kenapakah roh itu datang dan berinteraksi dengan manusia, bahkan menolong manusia. Adakah lagi amalan yang mampu dibuat setelah roh meninggalkan jasad, sedangkan Allah SWT berfirman: Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang daripada kamu, lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku mampu bersedekah dan aku termasuk dalam golongan yang solih?”. Surah al-Munafiqun: 10.

6- Jika benar roh yang datang, kenapa dia tidak mengambil peluang ini untuk bertaubat, bersedekah dan melakukan segala jenis amalan kebajikan? Tidakkah ini lebih baik baginya daripada membuang masanya dengan berbual-bual kosong memperkenalkan dirinya kepada manusia? Atau memang mereka dihalang untuk kembali walaupun sesaat ke dunia ini?

7- Jika benar roh yang datang dan membantu manusia (membuat kebaikan), maka persoalannya adakah roh itu akan mendapat pahala daripada amalannya itu, sedangkan Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara: (iaitu pahala amalannya yang dilakukannya semasa hayatnya masih diberikan pahala), sedekah yang berkekalan, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang solih yang berdoa kepadanya. Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.

8- Dan jika roh itu datang dan mengganggu manusia (membuat dosa), adakah dia akan dianggap berdosa? Tidakkah perhitungan amalan manusia hanya sesudah roh keluar daripada jasad? Allah SWT berfirman: Dan beribadatlah kepada Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (kematian). Surah al-Hijr: 99. Tidakkah dua akidah ini bercanggahan?

9- Kalaulah dikatakan bahawa roh yang membuat amalan salih itu diberikan pahala, maka tidakkah ini membawa kepada mengingkari ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim dan juga Hadis-hadis Nabi s.a.w.? Ini kerana dunia ini tempat beramal, dan alam selepasnya adalah tempat balasan. Tidakkah benar begitu?

10-Dan jika dijawab bahawa roh itu tidak akan mendapat pahala, maka siapakah yang akan mendapat pahala daripada amalan salih yang dilakukannya tadi? Atau memang roh tidak boleh kembali sebagaimana yang mereka percayai itu?

11-Dan jika ia melakukan pembohongan dan dosa, adakah ia akan berdosa? Maka jika dijawab dengan ya, maka bilakah ia akan dikenakan azab seksaan kuburnya? Atau orang yang mempercayai kedatangan roh itu menolak aqidah seksaan kubur? Dan bilakah roh ini akan mengetahui kedudukannya yang sebenar? Sedangkan Allah SWT berfirman: Kamu telah dilalaikan oleh sikap ingin bermegah-megah (dengan memperbanyakkan harta, pengaruh, pangkat dan sebagainya). Sehinggalah kamu memasuki kubur. Jangan begitu, kelak kamu akan mengetahui. Kemudian, janganlah begitu, (kerana) kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. Kemudian kamu sesungguhnya benar-benar akan melihatnya dengan ainul yaqin (mata kepala sendiri sehingga menimbulkan keyakinan yang kuat). Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan. Surah at-Takasur: 1-8.

12-Dan jika dikatakan bahawa roh itu tidak berdosa, sebaliknya yang berdosa ialah orang yang dimasukinya. Maka persoalannya ialah, tidakkah ini berlawanan dengan akidah Islam yang menganggap bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain? Kenapa dia dipersalahkan sedangkan roh orang lain yang melakukannya? Firman Allah SWT: Dan seseorang yang berdosa tidaklah memikul dosa orang yang lain. Surah al-Isra’: 15

13-Ada roh yang datang mengaku bahawa ia adalah roh wali si polan atau Nabi Khidir dan sebagainya. Adakah benar dakwaan roh tersebut, sedangkan kita tidak mengenalinya dan tidak juga mengenali jasadnya? Kita hanya mengenali sirahnya. Kalaulah manusia yang nampak dilihat ini boleh mengaku apa sahaja namanya kerana kita tidak mengenalinya, maka tidakkah persoalan yang sama boleh kita letakkan ke atas roh ghaib yang datang tadi?

14- Kalaulah benar roh yang datang itu roh para wali, kenapakah ia datang membantu kita? Tidakkah lebih munasabah ia pergi membantu saudara-saudara kita yang dibunuh dengan kejam oleh orang-orang Yahudi, Amerika dan juga Rusia? Atau pergi membantu menyekat remaja-remaja muslimah yang hendak dirogol oleh lelaki jahat atau mahramnya? Tidakkah ini lebih baik jika ia mampu untuk pergi menolong siapa sahaja yang dikehendakinya?

15-Tidakkah Allah SWT sahaja yang berkuasa mencabut roh? Tidakkah orang yang mengangap bahawa yang datang itu adalah roh mengetahui yang Allah SWT berfirman: Allah (jualah yang) memegang jiwa (roh manusia) ketika matinya dan (Dia jugalah yang memegang) jiwa (roh) yang belum mati diwaktu tidurnya. Maka Dia tahankan jiwa (roh orang) yang telah Dia tetapkaan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa (roh) yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir (menggunakan akal fikiran. Surah az-Zumar: 42. Adakah mereka tidak beriman dengan ayat suci ini atau dalam hati mereka ada penutup yang menyebabkan mereka menolak ayat-ayat Allah SWT?

16-Kalaulah roh itu dapat datang setelah dipanggil, kenapa tak dipanggil saja roh Saidina Hamzah, Khalid al-Walid, Saidina Umar dan seumpama mereka untuk membantu menguatkan kekuatan Islam? Kenapa tak dipanggil saja roh Imam Syafie, Maliki, Ghazali, Nawawi dan seumpama mereka untuk diajukan persoalan masalah-masalah fiqh yang baru dan terkini?

17- Diriwayatkan dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada bersabda: Kubur itu samada satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang neraka. Riwayat Tirmizi. Kalaulah roh yang baik yang datang, kenapakah mereka bersusah payah datang sedangkan mereka berada dalam kenikmatan?

18-Dan jika roh orang yang berdosa yang datang, tidakkah ini boleh merehatkannya daripada azab kuburnya? Mungkin semua roh orang yang berdosa akan keluar untuk melepaskan diri daripada azab kuburnya? Adakah ini benar bagi orang yang berakidah dengan akidah Islam yang sebenar?

19-Tidakkah mempercayai kedatangan kembali roh itu bererti menolak banyak daripada ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim dan juga Hadis-Hadis Nabi s.a.w.? Manakah yang lebih patut bagi seorang yang beragama Islam, antara mempercayai ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim dan juga Hadis-Hadis Nabawi atau mempercayai suara yang hanya menumpang jasad orang lain dan mendakwa ia adalah roh si polan bin si polan?

20-Adakah orang yang mempercayai kedatangan roh itu akan tetap berdegil dengan pegangannya itu setelah dikemukakan persoalan-persoalan ini? Atau mereka akan bertaubat dan kembali kepada kebenaran dan mengikut titah Allah SWT melalui firmanNya: Maka tanyalah orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui. Surah an-Nahli: 43.


Setelah diajukan solan-soalan ini, maka saya dengan yakin mengatakan bahawa yang datang itu bukanlah roh orang yang dah mati. Yang datang dan mengaku sebagai roh wali si polan dan si polan tidak lain melainkan jin yang ingin menyesatkan dan memperdayakan manusia. Mungkin kita tidak nampak akan kemudharatannya, kerana ia seumpama meletakkan racun yang halus di dalam madu yang manis. Memohon pertolongan jin boleh membawa kepada kesyirikan. Dan boleh jadi juga yang datang itu adalah “Qarin” si mati yang sentiasa mendampingi si mati semasa hayatnya. Kerana itulah dia sangat mengenalinya dan menyerupainya. Semoga kita semua terselamat daripada tipu daya syaitan. Allah Maha Mengetahui.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu’tah, Jordan. 1:54p22061425H08082004M

13.3.09

Allah Wujud Tanpa Bertempat

Kami telah merujuk tuntutan fatwa yang disenaraikan bernombor 2514 tahun 2005M terdapat dalamnya:

Soalan:
Saya pelajar di Kuliah As-Syari’ah, saya telah mempelajari dan belajar perihal ilmu aqidah bahawa : Allah itu wujud tanpa bertempat dan Allah tidak dilingkungi (berada) di arah (penjuru), maka saya minta kenyataan fatwa mengenai perkara tersebut, yang mana didapati sebahagian orang yang mengutuk akidah yang di ajar oleh Universiti Al-Azhar tersebut.

Jawapan : Dar Ifta Mesir

Antara akidah yang benar disisi Islam adalah Allah ta’ala tidak dilingkungi oleh tempat dan Dia tidak ditetapkan dengan zaman kerana tempat dan zaman adalah makhluk maka Allah maha suci daripada meliputi apa sahaja makhlukNya, bahkan Dialah Pencipta setiap sesuatu dan Dia mengetahui akan setiap sesuatu, demikianlah akidah yang telah disepakati oleh umat Islam, tidak menginkari akidah ini seorang pun orang islam, dan ulama ilmu Islam telah menyatakan : “ Allah telah sedia wujud tanpa bertempat dan Dia sediakala sebelum mencipta tempat, tidak berubah sama sekali ”.

Diantara kenyatan ulama Salafus Soleh pada perkara akidah ini adalah kenyatan dari Imam Ja’far As-Sodiq ‘alaihissalam : “ Barangsiapa menganggap Allah itu dalam sesuatu atau daripada sesuatu atau atas sesuatu benda maka dia telah syirik (kafir) kerana sekiranya Allah di dalam sesuatu maka Dia mempunyai ukuran, sekiranya dikatakan Allah atas sesuatu benda maka Dia dipikul dan sekiranya Dia daripada sesuatu maka Dia makhluk”.T.

Dikatakan kepada Yahya bin Muaz Ar-Rozi : “ Beritahu kami tentang Allah ‘azza wajalla, lantas beliau menjawab : ‘Dia Tuhan yang Esa ’, ditanyakan kepada beliau : ‘bagaimana Allah?’ maka beliau menjawab: ‘Pemilik Yang Berkuasa’ dan ditanya kepada beliau lagi: ‘ di mana Dia?’ maka beliau menjawab : ‘bil mirsod’ dan dikatakan kepada beliau: ‘aku tidak bertanya tentang itu’ kemudian beliau berkata: ‘ selain daripada ini maka itu adalah sifat makhluk, manakala sifatNya adalah telah dikhabarkan’”.

Ditanya kepada Zun Nu Al-Misry semoga Allah meredhoinya mengenai firman Allah : “Arrahman ‘alal Arasyi Istawa” beliau mengatakan: Allah telah menberitahu zatNya wujud dan Allah menafikan tempat bagi diriNya, Diri Allah wujud, makhluk pun wujud sepertimana ciptaan Allah kehendaki”.T

Manakala yang tertera dalam Alquran dan Alhadith daripada nas-nas menunjukkan ketinggian Allah ‘azza wajalla terhadap hambaNya maka ketahuilah bahawa maksunya ketinggian martabat, kemulian, kehebatan dan penguasaan kerana Allah tidak menyerupai makhlukNya, tidaklah sifatNya seperti sifat makhluk, tidaklah sifat Pencipta bersamaan dengan sifat makhluk yang berkaitan dengan kelemahan bahkan Allah itu bagiNya sifat sempurna daripada nama-nama yang muliaNya.

Segala yang terbayang dibenak pemikiran kamu maka Allah tidak begitu, lemah mengkhayalkan zatNya adalah pengetahuan yang benar dan mencari-cari zat Allah adalah syirik dan kufur.

Akidah Ulama Al-Azhar Al-Syarif adalah aqidah Al-Asyairah dan ia adalah akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah, akidah ulama Al-Asyairah adalah akidah jumhur ulama umat Islam dan merekalah yang menentang kekacauan akidah oleh atheis dan selainnya dan Al-Asya’irahlah yang berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam sepanjang waktu dalam sejarah Islam.
Barang siapa yang mengkafirkan Al-Asya’irah atau menghukum fasiq terhadap Al-Asya’irah maka akidah orang itu dalam bahaya.

Berkata Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir rahimahullah dalam kitab beliau berjudul Tabyil Kazib Al-Muftary Fima Nusiba Ila Al-Imam Abi Al-Hasan Al-Asy’ary ( Kenyataan Terhadap Pendustaan Penipu Kepada Apa Yang Disandarkan Kepada Imama Abu Hasan Al-Asy’ary) katanya: “ Semoga Allah memberi taufik kepadaku dan kepadamu dan mengolongkan dalam golongan orang bertaqwa, ketahuilah bahawa daging ulama yang diracun (difitnah) dan Allah akan membalasnya, barangsiapa menyandarkan keatas ulama Islam pendustaan maka Allah akan menimpakan kepadanya bala yang besar ketika dia mati dengan mematikan hatinya”.T

Dimaklumkan bahawa ulama Al-Azhar As-Syarif merupakan tempat kautan ilmu dan agama seperti terdapat dalam sejarah Islam yang tidak boleh dinafikan lagi, dan Al-Azhar tetap secara jelas dengan pegangan ini menyampaikan seperti ulama selepas kurun pertama yang mulia, Allah menjaga agamaNya daripada segala penentangan dan peragu, maka sesiapa menentang akidah ini adalah bahaya yang amat besar dan mereka yang menentang akidah ini ( Allah Wujud Tanpa Bertempa) adalah golongan Khawarij dan golongan Murjifah yang Allah telah menceritakan keburukan mereka dengan firmanNya :

لَئِن لَّمْ يَنتَهِ المُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْمُرْجِفُونَ فِى المَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لاَ يُجَاوِرُونَكَ فِيهَا إِلا قَلِيلًا

Surah Al-Ahzab ayat 60

Wallahu 'alam.

19.1.09

Allah Wujud Tanpa Bertempat

PENJELASAN AKIDAH ISLAM "ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT" OLEH DR. SYEIKH SALEEM 'ALWAN AL-HASANIY (SEORANG ULAMA BERKETURUNAN RASULULLAH)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Alhamdulillah Tuhan Sekalian alam. Alhamdulillah telah memberi hidayah kepada kita semua, jika bukan dengan pemberian hidayah Allah kepada kita, kita semua tidak akan mendapat hidayah kecuali Allah menetapkan hidayah kepada kita.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad Rasulullah,ahli keluarga baginda, para sahabat dan pengikut baginda.

Maka disini Kami katakan:

Wahai seluruh umat Islam!
Ketahuilah sesungguhnya kepercayaan bahawa "Allah ta'ala wujud tanpa bertempat" merupakan akidah junjungan besar kita Nabi Muhammad, para sahabat, ahlil bait baginda dan semua yang mengikut mereka dengan kebaikan.

ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT.

Ini kerana Allah ta'ala tidak memerlukan kepada makhluk-makhlukNya,azali dan abadinya Allah Tidak memerlukan kepada selainNya.
Maka Allah tidak memerlukan kepada tempat untuk diduduki dan tidak merlukan kepada benda untuk diliputiNya dan Dia tidak memerlukan kepada arah. Cukup sebagai dalil pada mensucikan Allah dari bertempat atau berarah itu dengan firman Allah ta'ala yang bermaksud:

" Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah".

Sekiranya Allah bertempat maka sudah pasti bagiNya persamaan dan berukuran tinggi lebar, dalam, dan sesuatu yang sedimikian pastinya adalah makhluk dan memerlukan kepada yang lain menetapkan ukuran panjangnya, lebarnya, dalamnya. Demikian tadi dalil 'Allah Wujud Tanpa Bertempat' dari Al-Quran.

Manakala dalil dari hadith Nabi pula adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan selainya dengan sanad yang sohih bahawa Rasulullah (selawat dan salam keatasnya) bersabda yang bermaksud:

"Allah telah sedia wujud (azali) dan selain Allah tiada sesuatupun yang sedia wujud (azali)".

Makna hadith Nabi tadi adalah Allah telah sedia ada pada azal lagi, tidak ada bersama Allah selainNya, air belum ada lagi, udara belum ada lagi, bumi belum wujud lagi, langit belum wujud lagi, kursi belum ada lagi, arasy belum ada lagi, manusia belum wujud lagi, jin belum wujud lagi, malaikat belum ada lagi, masa belum ada lagi, tempat belum wujud lagi dan arah juga belum wujud lagi.

Manakala Allah telah sedia wujud tanpa tempat sebelum tempat dicipta dan Allah tidak sama sekali memerlukan kepada tempat. Inilah yang dinyatakan dari Hadith Nabi tadi. Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) berkata:

" Allah telah sedia ada tidak bertempat dan Allah sekarang juga atas sediakalaNya tanpa bertempat".
Diriwayatkan oleh Imam Abu Mansour Al-Baghdady dalam kitabnya Al-farqu Bainal Firaq.

Dari segi akal, sebagaimana diterima akan kewujudan Allah ta'ala itu tanpa tempat dan tanpa arah sebelum adanya tempat dan arah maka benarlah kewujudan Allah itu setelah mencipta tempat Dia tidak bertempat dan tidak memerlukan arah.
Dalil ini semua, bukanlah menafikan kewujudanNya sepertimana yang dituduh oleh ajaran yang menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk pada zaman ini iaitu ajaran Wahhabiyah.

Kita mengangkat tangan ke langit ketika berdoa bukanlah kerana Allah berada dilangit akan tetapi kita mengangkat tangan ke langit kerana langit merupakan kiblat bagi doa, tempat terkumpulnya banyak rahmat dan berkat. Sepertimana kita menghadap ke arah ka'bah ketika solat tidaklah bererti Allah itu berada di ka'bah akan tetapi kerana ka'bah itu kiblat bagi solat. Inilah yang telah dinyatakan oleh para ulama Islam.

Saidina Ali (semoga Allah meredhoinya) turut menjelaskan:
" Akan kembali satu kaum dari umat ini ketika hampir hari kiamat kelak mereka menjadi kafir, lantas sesorang lelaki bertanya: ' Wahai amirul mu'minin! Kekufuran mereka itu disebabkan apa? kerana mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama atau mengingkari sesuatu dalam agama?' Saidina Ali menjawab: Kekufuran mereka kerana mengingkari sesuatu dalam agama iaitu mereka mengingkari Pencipta mereka dengan menyifatkan Pencipta itu berjisim dan beranggota". Diriwakan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya berjudul Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tady.
Berkata Imam Zainul Abidin (semoga Allah meredhoinya): " Engkaulah Allah yang tidak diliputi tempat". Diriwayat oleh Al-Hafiz Az-Zabidy.

Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitabnya Fiqhul Absat: " Allah ta'ala telah sedia ada tanpa tempat, Allah telah sedia wujud sebelum mencipta makhluk, dimana sesuatu tempat itu pun belum wujud lagi, makhluk belum ada lagi sesuatu benda pun belum ada lagi, dan Allah lah yang mencipta setiap sesuatu.

Dinyatakan dengan sanad yang sohih oleh Imam Baihaqi dari Abdullah bin Wahb berkata:
" Ketika kami bersama dengan Imam Malik, datang seseorang lelaki lantas bertanya: 'Wahai Abu Abdillah Imam Malik! 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' bagaimana bentuk istiwa Allah? maka Imam Malik kelihatan merah mukanya kemudian beliau mengangkat wajahnya lantas berkata: 'Ar-Rahman 'Alal Arasyi Istawa' ianya sepertimana yang telah disifatkanNya dan tidak boleh ditanya bentukNya kerana bentuk itu bagi Allah adalah tertolak dan aku tidak dapati engkau melainkan seorang pembuat bid'ah! maka keluarkan dia dari sini".
Manakala riwayat yang berbunyi 'dan bentuk bagi Allah itu adalah dijahili' ianya riwayat yang tidak sohih.

Imam kita Imam Syafie (semoga Allah meredhoinya) telah berkata: " Barangsiapa mempercayai Allah itu duduk di atas Arasy maka dia telah kafir". Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Mu'allim Al-Qurasyi dalam kitabnya Najmul Muhtady Wa Rojmul Mu'tadi.

Berkata juga Imam Ahmad bin Hambal (semoga Allah meredhoinya) : " Barangsipa yang mengatakan Allah itu jisim tidak seperti jisim-jisim maka dia juga jatuh kafir".Diriwayat oleh Al-Hafiz Badruddin Az-Zarkasyi dalam kitabnya Tasynif Al-Masami'.

Berkata Imam Ahli Sunnah Wal jamaah Imam Abu Hasan Al-Asy'ary dalam kitabnya berjudul An-Nawadir: " Barangsiapa yang mempercayai Allah itu jisim maka dia tidak mengenali Tuhannya dan sesungguhnya dia mengkufuri Allah".
Maka jelaslah dari kenyataan Imam Al-Asy'ary tadi bahawa kitabnya yang berjudul Al-Ibanah pada hari ini telah ditokok tambah.


Berkata Imam Abu Ja'far At-Tohawi yang mana beliau ini merupakan ulama As-Salaf As-Soleh: " Maha suci Allah dari mempunyai ukuran, penghujung, sendi, anggota dan benda-benda kecil dan Allah tidak diliputi dengan mana-amana arah enam sepertimana makhlukNya".
Beliau berkata lagi: " Barangsiapa yang menyifatkan Allah dengan sifat-sifat makhluk maka dia jatuh kafir".
Antara sifat makhluk adalah bergerak,duduk diam, turun, naik, bersemayam, duduk, berukuran, bercantum,berpisah,berubah, berada di tempat,berarah, berkata-kata dengan huruf, suara, bahasa dan lain-lain.

Telah dinukilkan oleh Imam Al-Qorofy dan Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitamy dan selainya menukilkan kenyataan bahawa: " Imam Syafie, Imam Malik Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah (semoga Allah meredhoi mereka) berkata bahawa jatuh hukum kufur bagi sesiapa yang berkata Allah itu ber-arah dan berjisim dan benarlah penghukuman Imam-imam tadi".

Wahai seluruh orang-orang muslim.
Kami mengakhiri penjelasan ini dengan ungkapan kaedah yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hambal (semoga Allah meredhoinya): " Segala yang terbayang dibenak fikiranmu maka ketahuilah bahawa Allah tidak sedemikian" . Dan ini merupaka kaedah yang telah disepakati disisi seluruh ulama Islam.

Berkata Imam kita Abu Bakar (semoga Allah meredhoinya): "Merasai diri itu lemah dari membayangi zat Tuhan maka itulah tauhid mengenal Tuhan dan memcari-cari serta membayangkan zat Tuhan itu pula adalah kufur dan syirik".

Alhamdulillah kita berada dalam akidah yang benar ini, memohon kepada Allah ta'ala agar mematikan kita diatas pegangan ini. Amin ya Arhamar Rohimin Wa akhiru da'wana 'anil hamdulillahi robbil 'alamin.

P/s: Moga dengan penjelasan tersebut, kita mohon pada Allah SWT agar menjauhkan kita dari fahaman Wahabi Ghuluw iaitu pengikut Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang beraqidah dengan Allah itu bertempat sebagaimana aqidah golongan Yahudi dan Nasrani.