Dari segi sejarahnya, gerakan Jamaah Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas (1885-1944). Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kandhela serta menerima pendidikan awalnya di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya.
Faktor utama kemasyhuran Maulana Muhammad Ilyas al-Kandahlawi adalah terletak kepada gerakan Islam yang diasaskan olehnya iaitu Jamaah Tabligh. Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila beliau menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik orang-orang di situ. Tetapi oleh kerana kurang sambutan maka dibentuknya sebuah jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari. Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatannya lalu berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Semenjak inilah gerakan Jamaah Tabligh terkenal ke seluruh India.
Di Malaysia pada mulanya gerakan Jamaah Tabligh berkembang di kalangan orang-orang India Muslim sahaja. Tokoh yang memperkenalkan gerakan ini ialah Maulana Abdul Malik Madani, yang datang ke Singapura dan Selangor sekitar tahun 1952 sebagai utusan dari markasnya di Nizamudin sendiri. Dari Singapura, beliau lalu datang ke Kuala Lumpur selama beberapa hari dan berangkat ke Ipoh dan Pulau Pinang lalu kembali ke Kuala Lumpur dan terus pulang ke India melalui Singapura.
Menurut ajaran Maulana Muhammad Ilyas, terdapat prinsip-prinsip ajaran yang tertentu yang harus dijadikan pegangan asas. Yang pertama sekali ialah prinsip Iman, atau disebut sebagai kalimah Tayyibah sahaja. Yang dimaksudkan dengan Kalimah Tayyibah di sini ialah "La ilaha iIlallah, Muhammad Rasulullah" iaitu tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Seseorang itu bukan sahaja harus melafazkannya selalu, malah perlu memahami pengertian dan falsafah yang terkandung di dalamnya. Dengan menyebutnya selalu dia bukan sahaja mendapat pahala, bahkan dapat mengelakkannya dari menyengutukan Allah dan perbuatan-perbuatan mungkar.
Melihat dari segi ini jelas sekali keutamaan Iman pada pandangan Muhammad Ilyas. Bagaimanapun selepas menyentuh tentang kepentingan dan keutamaannya, tidak pula dibahaskannya secara lanjut dalam hubungannya dengan realiti kehidupan umat Islam sebagai contoh di India pada ketika itu yang merupakan wilayah yang paling banyak tersebarnya kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik yang benar-benar mengancam kemurnian Iman dan Aqidah.
Muhammad Ilyas lebih gemar bercakap tentang kegiatan tabligh daripada menyentuh masalah syirik. Walaupun didapati beliau sama sekali tidak melayani permintaan untuk memberi azimat atau tangkal, namun beliau tidak pula menyebutkan dengan tegas bahawa azimat dan tangkal itu adalah amalan syirik belaka sebagaimana banyak tersebut dalam hadis-hadis sahih. Ringkasnya, keutamaannya kepada matlamat perjuangannya untuk bertabligh mengatasi persoalan-persoalan lain.
Mengiringi prinsip pertama ialah prinsip kedua, iaitu Solat (Namaz). Menurut Muhammad Ilyas, Kalimah Tayyibah dan Namaz ini merupakan dua prinsip yang asasi dan terpenting. Fadhilat Salat adalah terlalu banyak jika hendak diperhitungkan, apalagi jika ianya dikerjakan secara berjamaah.
Penekanan kepada prinsip Namaz atau Solat ini berkait rapat dengan sikap Muhammad Ilyas sendiri terhadap suasana keagamaan pada zamannya. Baginya ketika itu penyakit umat Islam yang terbesar ialah kejahilan tentang agama terutamanya mengenai ajaran dan kewajipan yang paling asas. Sesuai dengan pandangan kesufian yang menguasai dirinya, maka tuntutan yang paling mendesak baginya ialah penanaman ilmu pengetahuan yang asas iaitu Solat atau Namaz.
Seterusnya prinsip Jamaah Tabligh yang ketiga ialah ilmu dan zikir. Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah ilmu yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. atau yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s. w. t. Seperti solat, puasa, haji, zakat atau fitrah. Bagi kefahaman secara umum mereka diperlukan mengkaji kitab Tabligh-Nisab oleh Muhammad Zakariya al-Kandahlawi yang mengandungi perbahasan khusus tentang fadhilat-fadhilat tabligh, solat, puasa Ramadhan, bacaan Al-Quran, zikir, salawat, haji, sedekah dan kisah-kisah para sahabat.
Seiring dengan ilmu pengetahuan ialah amalan zikir iaitu mengingati Allah s. w. t. Dari segi rohaninya tujuan zikir ialah terus menerus setiap masa dan di mana sahaja mengingati Allah. Malah bagi Muhamad Ilyas, melakukan sesuatu untuk mendapatkan keredhaan Allah itulah zikir.
Prinsip yang keempat ialah penghormatan kepada orang-orang Islam (ikram Muslimin) baik kanak-kanak, orang tua, para ulama dan sebagainya. Sikap menghargai orang lain ini sebenarnya sangat penting bagi Muhammad Ilyas, kerana punca kesulitan atau kejahatan di kalangan manusia adalah kerana ketiadaan sikap ini.
Prinsip yang kelima ialah niat yang ikhlas, yakni setiap amalan atau perbuatan hendaklah semata-mata kerana Allah s. w. t., dan bukannya kerana lain. Sebarang perbuatan kerana keredhaan yang lain daripada Allah s. w. t., adalah munafiq, atau kiranya dengan menunjuk-nunjuk saja adalah dikira riak yang mana disifatkan sebagai syirik kecil.
Dalam ertikata yang lain, seseorang itu hendaklah memupuk di dalam dirinya sifat Iman dan ihtisab yakni melaksanakan sesuatu dengan penuh keyakinan kepada Allah s. w. t. Dengan penuh pengharapan tentang adanya ganjaran di akhirat nanti.
Prinsip yang keenam ialah melapangkan waktu atau mengorbankan masa untuk melaksanakan tabligh. Baginya inilah tujuan besar para Nabi dan memang untuk inilah Jamaah Tabligh ditubuhkan. Para Sahabat besar memang menyedari hakikat ini. Justeru itu mereka sanggup mengorbankan masa, harta dan jiwa mereka untuk bertabligh di sana-sini. Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini, sama seperti amalan para Nabi dan sahabat itu.
Disesuaikan dari tulisan abu atiyah
0 comments:
Post a Comment