Kita kerap menyangka, apabila kita kaya, rezeki melimpah ruah, hidup senang, itu tandanya Allah sayang kepada kita. Kita juga selalu berkata apabila kita miskin, rezeki sempit, hidup susah, itu tandanya Allah murka kepada kita. Adakah benar begitu? Jawabnya; TIDAK!
Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 15; "Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!” Ayat tersebut menunjukkan sikap sebahagian manusia yang menjadikan kekayaan sebagai kayu pengukur bahawa Allah redha kepadanya. Sedangkan hakikatnya dia menjadi sombong dengan kekayaannya itu.
Dalam Surah yang sama, ayat 16, bermaksud; "Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!” Ayat ini pula menceritakan bagaimana pandangan manusia yang keliru dengan menyangka bahawa Allah telah menghinanya hanya semata-mata dengan ujian kesempitan rezeki. Ya, mereka rasa terhina, terutama apabila kawan-kawan datang dengan memandu kereta berjenama besar, kita pula memandu kereta yang ekzosnya terpaksa diikat dengan tali “rafia”. Aaahh.. manusia memang keliru dengan pandangannya sendiri.
Jika benar pandangan ini, bermakna Qarun yang kaya itu adalah hamba Allah yang soleh, manakala Nabi Musa yang miskin itu adalah termasuk dalam golongan yang dihina oleh Allah. Jika tepat pandangan ini, maka Muhammad SAW adalah dimurkai Allah, manakala Abu Lahab adalah kekasih Allah. Betapa songsangnya kesimpulan ini.
Selepas itu, pada ayat ke 17, Allah menjelaskan dengan maksudnya; Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya).Sebenarnya inilah yang banyak berlaku, terutamanya dalam kes pembahagian harta pesaka. Adik beradik si mati akan berebut-rebut harta pesaka yang ditinggalkan oleh si mati yang ketiadaan anak lelaki.
Tetapi, yang menghairankan kita ialah harta pesaka mereka berebut tetapi nafkah anak-anak perempuan yang yatim itu tidak dipedulikan, malah lebih memalukan mereka sanggup berkata; “Alaa.. mak dia ada.” Sejak bila pula orang perempuan wajib menafkahi anak-anak mereka?
Surah Al-Baqarah ayat 216, bermaksud; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Ayat ini menjadi penenang kita, bahawa ada perkara yang kita tidak menyukainya tetapi kemudiannya terbukti, sangat berfaedah kemudiannya, begitulah sebaliknya. Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, sapulah air matamu, ukirkan senyuman, binalah semangat dan ingat, Allah sentiasa bersamamu dan Dia Maha Adil.
Sekian.
Ahmad Jailani Abdul Ghani
Sumber: Mutaligat.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment