BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ

خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُون

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka . Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

(Al-An'am:32)

28.2.09

Kelebihan dan Nilai Seorang Wanita Solehah

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susubadan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 maalaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

16 Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka maalaikat-maalaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.

23. Wanita yang meniggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

25. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Pandangan : Amatlah mudah bagi seorang wanita untuk menjejak Syurga.*
Dipetik daripada Bayan Mastura Oleh Syed Ahmad Khan; Januari 1992.Hadis nabi mengenai wanita.

Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki.Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

Wallahua'lam..


Dibawah ini adalah beberapa petikan hadis yang menyatakan mengenai kelebihan wanita solehah, mudah - mudahan dengan membaca dan menghayati hadis ini akan memberi kekuatan kepada kita untuk mengamalkan Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Insya - ALLAH.

"Empat jenis, siapa yang diberi akan keempat - empat jenis ini beerti dia telah memperolehi sebaik - baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa yang selalu sabar dengan cubaan dan isteri yang tidak melakukan dosa dan menzalimi suaminya".

Ath-Thabrani.

"Tidak perlu lagi seorang mukmin setelah ianya bertakwa kepada ALLAH akan sebaik - baik keperluan baginya selain dari isteri yang solehah.Jika ia menyuruh isteri mentaatinya. Dan jika dia melihat kepada isterinya, isterinya menyukakan hatinya. Dan jika dia menyumpah memarahi isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya. Dan jika suaminya tiada dirumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya".

Ibnu-majah.



"Janganlah kamu mengahwini wanita kerana paras rupa yang cantik,mungkin paras rupa itu membawa kehancuran, jangan kamu kahwini wanita kerana hartanya kerana berkemungkinan harta itu membawa kepada kezaliman.Tetapi kahwinlah wanita kerana agamanya, seorang wanita hamba yang hitam yang menghayati agama sesungguhnya lebih baik"

Ibnu - Majah.

26.2.09

Exam dah lepas....

Awal pagi tadi, aku bertolak ke Dewan Sek Men Putra untuk menghadiri peperiksaan perkhidmatan awam yang akan bermula pada jam 9.30 pagi selama 1 jam. Ini adalah kali kedua aku ambik exam tersebut selepas gagal pada exam yang lalu. Sebabnya, aku tak tau pulak yang exam tu boleh rujuk pada buku. Jadi, exam yang baru lepas tadi tu memang konfem la aku bawa buku sekali. Harap-harap lulus lah kot kali ni...

Malam ni...lebih kurang jam 12 malam ayah, mak serta Fizah sekeluarga akan bertolak ke Shah Alam. Diaorang akan ke rumah Razif di Shah Alam... saja pegi jalan-jalan makan angin. Jadi, hanya tinggal aku dengan Maria je lah kat rumah untuk dua tiga hari ni. Mungkin hari Ahad ni bertolak balik kot...

18.2.09

5 Perkara

5 perkara:

  1. Wajah yang cantik
  2. Duit yang banyak
  3. Kesihatan yang baik
  4. Anak-anak yang cerdik dan berjaya
  5. Tidur yang nyenyak
Itulah 5 perkara yang selalu menjadi impian manusia sehingga sanggup korbankan wang ringgit dan tenaga untuk mendapatkannya sedangkan benda tersebut di beri percuma oleh Allah SWT hanya melalu solat Fardhu 5 waktu sehari semalam.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang meninggalkan solat Subuh, tiadalah padanya nur di wajahnya. Dan barangsiapa yang meninggalkan solat Zohor, tiadalah padanya rezeki yang berkat. Dan barangsiapa yang meninggalkan solat 'Asar, tiadalah padanya kekuatan badan dan barangsiapa yang meninggalkan solat Maghrib tiadalah padanya anak-anak yang bermanfaat. Dan barangsiapa yang meninggalkan solat 'Isyak, tiadalah padanya tidur yang nyenyak".

Jadi, untuk mendapatkan kelima-lima perkara di atas, janganlah kita meringan-ringankan solat ataupun terus meninggalkannya. Sebenarnya, banyak lagi rahsia solat yang tidak diketahui umum dan insyaallah akan cuba didedahkan di sini.

14.2.09

Elakkan Sambut Valentine's Day

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut. Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.


Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).

Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks. Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian. Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian

Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari. Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’.

Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja. Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St.Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.; “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. ;“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis

Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.-sumber : http://www.islam.gov.my/

Kembali...

Sabtu...14 Feb. 2009. Hari cuti.... Hari ni hanya tinggal aku dengan isteri kat rumah. Mak dengan ayah balik kampung. Diaorang bertolak pagi kelmarin...balik ziarah anak Pakteh yang demam panas sejak seminggu yang lalu. Aku pun baru ja lepas sembuh dari demam. Demam biasa ja...2 hari aku MC ( 9 & 10 Feb.) yang lalu.

Kelmarin dulu, dah mula balik pergi tawajuh di rumah tok guru setelah hampir 2 bulan aku tak berkunjung ke sana. Sekarang ni, boleh la kalau nak pergi tiap-tiap minggu sebab Jai pun dah beli kereta baru. Boleh la tumpang dia... Masa majlis tawajuh yang lepas (khamis), aku terserempak dengan sorang pelajar Al-Azhar. Balik bercuti katanya...dah ambik ijazah pada tahun lepas, tapi tahun ni baru berpeluang hadir bertawajuh. Nama dia Fairus...katanya dia kenal dengan Rafis. Mungkin Rafis pun kenal dia kot... Apa dia tawajuh tu? He,he...lain kali aku jelaskan. Hanya orang tasawuf dan tarekat saja yang faham benda ni.

5.2.09

Tanda-tanda Qiamat Yang Dah Berlaku....

1) Penaklukan Baitulmuqaddis.

Dari Auf b. Malik r.a. katanya,Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat. 'Baginda menyebutkan salah 1 diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.' - Sahih Bukhari

~ dah jadi dah...



2) Zina bermaharajalela.

'Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.'- Sahih Muslim

~ dah nampak dah...


3) Bermaharajalela alat muzik.

'Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka'. Adayang bertanya kepada Rasulullah; 'Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?'Baginda menjawab: 'Apabila telah bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi² wanita'
- Ibnu Majah


~ Mentor , Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Anugerah Muzik...



4) Menghias masjid & membanggakannya.

'Di antara tanda2 telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid'-
Riwayat Nasai.

~ memang dah nampak dah...



5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat &
hubungan dengan tetangga tidak baik.

'Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam tetangga.'-
Riwayat Ahmad dan Hakim.

~ ada anak tak mengaku ada mak/bapak pasal malu......




6) Ramai orang soleh meninggal dunia.

'Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik& ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran'-
Riwayat Ahmad

~ boleh kira berapa jer para ulama'yg tinggal...


7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat.

'Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka'bin Luka'(orang yang bodoh & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia'- - Riwayat Thabrani

~ George Bush, Ariel Sharon & kat Malaysia pun ada....



8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.

'Sesungguhnya di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'
- Riwayat Ahmad

~ jiran sesama islam pon tak bertegur sapa....


9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. 'Di antara anda² telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian² wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang'.

~ fesyen zaman skarang (tube, spaghetti strap, etc..)...



10) Bulan sabit kelihatan besar.

'Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung(membesarnya) bulan sabit.'
- Riwayat Thabrani

~ tak caya gi tengok...



11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita.

'Pada akhir zaman akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2 yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa2 kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu'
- Sahih Muslim

~ Siaran TV kerajaan dan swasta, akhbar2 harian & majalah² yg popular skarang nie......



12)Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar.

'Sesungguhnya sebelum datang nya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar.'
-Riwayat Ahmad

~ tengok kes peperangan Iraq & kes liwat DSAI


13) Negara Arab menjadi padangrumput & sungai.

'Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput & sungai²'
- Sahih Muslim

~ Dubai
dah turun salji... Mina dah kene banjir...

p/s: Ini baru yang kita betul2 sedar...malah banyak lagi tanda-tanda qiamat yang dah berlaku sekarang. Jadi, apa tindakan dan persediaan kita? Sebenarnya, qiamat dah semakin hampir tetapi manusia hari ni masih lagi leka. Guru kerohanian aku pernah menyebut bahawa saat-saat qiamat itu sudah semakin dekat, makin dekat....


4.2.09

Ibn Hajar Beraqidah sesat-Bin Baz &Wahabi (Berbukti)

IMAM IBNU HAJAR AL-ASQOLANY DIHUKUM OLEH KESEMUA WAHHABI SEBAGAI BERAQIDAH SESAT

Bukan anda sahaja yang dikafirkan oleh Wahhabi. Imam yang agong dan hebat pengarang kitab Fathul Bari Syarh Sohih Bukhari yang terkenal ini juga tidak terlepas dihukum sebagai sesat aqidahnya.Buktinya dalam kitab Wahhabi berjudul: " At-Tanbih 'Ala Al-Mukhalafaat Al-'Aqdiyah Fi Fathil Bary " tajuk buku yang bermaksud Peringatan Ke Atas Penyelewengan Aqidah Dalam Kitab Fathul Bary (karangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany)" yang mana buku ini telah mendapat kata-kata aluan dan pujian oleh tokoh-tokoh Wahhabi setelah mereka menelitinya isi kandungannya.Tajuk buku Wahhabi itu: At-Tanbih 'Ala Al-Mukhalafaat Al-'Aqdiyah Fi Fathil BaryDikumpulkan oleh Wahhabi bernama: Ali Bin Abdul Aziz Bin Ali Asy-Syibil.Buku itu telah diteliti dan diperakui benar dan betul belaka oleh tokoh-tokoh Wahhabi:1- Abdul Aziz Bin Baz.2- Soleh Al-Fauzan.3- Abdullah Bin 'Aqil.4- Abdul Bin Muni'.5- Abdullah Al-Ghonimaan.

* Kenyataan Bin Baz Mufti Wahhabi mengatakan: " Kerja menghukum sesat aqidah Ibnu Hajar Al-Asqolany dari bukunya Fathul Bary adalah amalan yang TERBAIK ". Lihat Taqriz dalam kitab di atas.Lihat bagaimana Bin Baz dan Wahhabi memuliakan amalan menghukum sesat terhadap aqidah ulama Islam.APA WAHHABI KATA DALAM BUKU ITU?Dalam kitab Wahhabi tadi mereka telah bersepakat menghukum Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany pengarang kitab Fathul Bary Syarah Sohih Al-Bukhari sebagai:

1- Tidak beraqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
2- Pembasmi aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
3- Menafikan sifat Allah (nufaat).
4- Suka ta'wil yang sesat.
5- Ikut Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah yang sesat.
6- Suka bawa bid'ah.
7- Mangharuskan tawassuk syirik.
8- Mengharuskan tabarruk syirik.
9- Sesat.
10- Kafir. (itulah hakikat Wahhabi ingin nyatakan tetapi mereka BERTAQIYYAH).

Demikianlah penghukuman Wahhabi terhadap Imam Ibnu Hajar Al-Aqolany dalam kitab mereka tadi. Ada lagi banyak kenyataan yang jelek dan keji Wahhabi luahkan kepada Imam Ibnu Hajar ini.

* P/S: Wahhabi suka bertaqiyyah iaitu bercakap bohong dan bersumpah bohong. Contoh. Jika anda tanya mereka berdepan perihal Imam Ibnu Hajar dihadapan khalayak ramai Wahhabi akan menjawab Beliau bagus...beliau ok. tapi Wahhabi MENGKAFIRKAN Imam Ibnu Hajar pada hakikatnya. JANGAN TERTIPU DENGAN TAQIYYAH WAHHABI. WAHHABI TURUT MENGHUKUM IMAM NAWAWI SEBAGAI SESAT KEKAL DALAM NERAKA. AWAS!

___________________________________________________________________

Komen aku : " Aku tak terkejut sangat bila Wahabi ni kafirkan dan sesatkan Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-'Asqalani sebab sahabat Nabi SAW pun diaorang sanggup kafirkan dan sesatkan. Malah, Imam Syafi'e, Imam Ghazali dan imam-imam yang lain turut dikafirkan mereka. Nampaknya, Syurga Allah hanya akan dipenuhi oleh golongan Wahabi je lah yer....sebab yang lain semua kafir dan sesat dan masuk neraka. Wallahu a'alam....

Aktiviti hari ni...

Hari ni aku tak keja. Terlibat dengan program Taklimat Promosi Pembelajaran Berterusan dan Mini Forum anjuran Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) di Hotel Putra Palace, Kangar. Diaorang jemput wakil-wakil dari koperasi yang terdapat kat Perlis ni. Jadi, yang mewakili Koperasi PTSS ialah aku dan Rahman. Kami dua ja... Program tu juga mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (negeri Perlis) dan Mecd Perlis. Dalam program tu, setiap wakil bagi agensi-agensi terbabit menerangkan kursus-kursus yang boleh diikuti oleh setiap koperator dan perancangan mereka bagi tahun 2009 untuk koperasi. Banyak juga la kursus yang menarik dan yang membuatkan aku tertarik nak ikut.... dan yang paling menarik adalah kursus j/panjang iaitu program sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi). Rasa macam nak...tapi, bila dah dok dalam sistem ni, masalah jugak. Nak kena cuti panjang tu...maklumlah, kursus ni diaorang buat kat kampus induk MKM di Petaling Jaya. Nantilah pikir lain...
Program tu tak lama...bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 1.00 t/hari. Sebelum balik, kami dijamu dengan makan t/hari. Boleh tahan jugak la masakan kat Putra Palace tu...menurut Pengarah SKM Negeri, untuk makan t/hari tadi pihak hotel cas RM66.70 untuk satu kepala. Macam makan kat hotel di KL la plak....

3.2.09

Senyuman Para Syuhada' Gaza









p/s: Senyuman insan-insan yang cintakan akhirat, yang cintakan syahid. Insan yang hanya takut kepada Allah, tidak takut mati. Senyuman insan yang percaya kepada janji Allah bahwa syahid fi sabilillah itu ganjarannya hanyalah Syurga Allah SWT.

50 SEBAB MENGAPA JUANDA JAYA TIDAK LAYAK JADI MUFTI

K50 SEBAB MENGAPA JUANDA JAYA TIDAK LAYAK JADI MUFTI

Dipermulaan ini dinyatakan 25 sebab mengapa Juanda Jaya tidak layak menjadi Mufti. Ianya berdasarkan fakta & dalil dipetik dari kenyataan Juanda Jaya sendiri dan bukan satu tuduhan juga bukan fitnah.Sila rujuk pada nombor yang telah diberi sebagai bukti dimana kata-kata penyelewengan Juanda Jaya itu dipetik. Manakala 25 sebab lagi akan disiarkan setelah anda merujuk semua bukti yang diberi dan sila bagi respon pada halaman komen.

* PENTING. SILA RUJUK BUKTI BERDASARKAN NOMBOR YANG TELAH DIBERI.


- Rujukan (1): Kenyataan Juanda Jaya dalam pembentangan kertas-kerjanya bertajuk Feqh Munakahaat Dalam Masyarakat Di Malaysia.

- Rujukan (2) : Kenyataan Juanda Jaya dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk Ketokohan Muhammad Bin Abdul Wahhab.

- Rujukan (3): Kertas kerja Juanda Jaya berjudul Al-Syafi'e Antara Keaslian Dengan Salah Faham.

- Rujukan (4): Rakaman Perbualan dengan Juanda Jaya tahun 2008.


Kenyataan dibawah adalah dipetik dari lidah dan tulisan Juanda Bin Jaya:


1- Juanda Jaya mendakwa mazhab Syafi'e tidak adil (1).

2- Juanda Jaya mendakwa Undang-undang perkahwinan Islam Malaysia yang meletakkan perempuan yang berumur kurang dari 16tahun dan lelaki yg berumur kurang daripada 18 tahun agar meminta keizinan dari mahkamah untuk berkahwin...Juanda mendakwa ia bercanggah dengan hukum syarak Islam (1).

3- Juanda Jaya mendakwa undang2 keluarga Islam di Malaysia dalam mentafsir perihal KITABIYYAH adalah tertolak dan tiada dalil walaupun di ambil dari kitab AL-Umm karangan Imam Syafi'e (1).

4- Juanda Jaya mengkritik & mengkondem kitab AL-Umm karangan Imam Syafi'e (1).

5- Juanda Jaya mendakwa si isteri yang telahpun ditalak oleh suaminya masih lagi dikira sebagai isteri kepada lelaki itu secara sah walaupun belum ruju'(1).

6- Juanda Jaya mendakwa Talak Ta'liq tidak jatuh talak walaupun perkara ta'liq itu telah pun berlaku (1).

7- Juanda Jaya menyuruh wanita dilantik Hakim Mahkamah Syariah (1).

8- Juanda Jaya menuduh dalam "Marhaban" ada penyamaan nabi Muhammad dengan Allah (1).Sedang ia sebaliknya.

9- Menghukum Tokoh ulama sebagai sesat (4).


10- Juanda Jaya mengakui bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab adalah pengasas & guru besar Wahhabi (2).

11- Juanda Jaya memunsing fakta kononnya Jazirah 'Arabiah tiada ulama Islam tiba-tiba muncul Muhammad Bin Abdul Wahhab menyelamatkan bumi(2).

12- Juanda Jaya mendakwa Muhammad bin Abdul Wahhab belajar dengan Ibnu Taimiah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah sedangkan kedua-keduanya telah mati lebih 500 Tahun sebelum kelahiran Muhammad bin Abdul Wahhab (2).

13- Juanda Jaya mendakwa orang awam yang bertaqlid dengan mazhab adalah sesat (3).

14- Melarang umat Islam mengenali Muhammad Bin Abdul Wahhab daripada kata2 orang lain sedangkan dia sendiri (Juanda) menukilkan kata2 orang2 lain kononnya memuji Muhammad Bin Abdul Wahhab (2).

15- Mendakwa pemikiran Tajdid Islam adalah diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab (2). Sedangkan yang sebenarnya adalah sebaliknya.

16- Mendakwa Qubah di atas kubur itu adalah bid'ah sesat dan khurafat (2). Sedangkan di atas Maqam @ kubur Nabi Muhammad terdapat Qubah.

17- Mengutuk ulama Islam (2).

18- Mengakui Wahhabi menentang Daulah Khilafah Uthmaniyyah (2).

19- Melarang orang awam bertaqlid kemudian mewajibkan pula orang awam bertaqlid (3).

20- Melarang orang awam mengikut pandangan ulama kemudian mewajibkan ia pula (3).

21- Mengharamkan umat Islam mengikut pandangan ulama Mujtahid tanpa dalil waktu yang sama mewajibkan kepada orang awam permindahan ke mana-mana mazhab walaupun tiada dalil (3).

22- Mendakwa kononnya Jazirah Arab beragamakan Bid'ah ketika waktu Muhammad Bin Abdul Wahhab (2).

23- Mendakwa Wahhabi adalah bermazhab Hambaly, mazhab Hambaly adalah Wahhabi (2). Sedangkan hakikatnya Wahhabi mengharamkan mazhab.

24- Mendakwa kononnya seluruh umat negara arab beraqidah sesat ketika zaman Muhammad bin Abdul Wahhab (2).

25- Mendakwa Muhamad Bin Abdul Wahhab adalah kekasih pilihan Allah (2) dan Mendakwa kononnya Muhammad Bin Abdul Wahhab telah dilantik oleh Allah sendiri untuk melaksanakan misi Allah (2). Demikian adalah ghuluw dirinya (Juanda) mendewa-dewakan orang yang dia sendiri tidak kenal.


* Kenyataan-kenyataan yang keluar dari lidah dan penulisan insan sedemikian adalah tidak wajar dilantik sebagai Mufti kerana boleh mengucar-kacirkan keadaan seperti mana berlaku pada sebelum ini.

Nantikan 25 sebab lagi setelah anda menyemak bukti. Hubungi 006 012 2850578 jika ada kemusykilan.

Sumber : Islam vs Wahabi

_____________________________________________________________________________________

Ulasan aku:

Bagi aku lah, secara logiknya kalau seseorang tu nak membahas atau tidak menyetujui ataupun ingin membantah hujah atau dalil daripada ulamak mujtahid....perlu ukur dulu tahap ilmu pada diri sendiri. "Layak ke aku nak mempertikaikan pendapat Imam Syafie'?" ataupun pendapat Imam Al-Ghazali"? Bagaimana kita nak membantah seorang doktor jika kita masih lagi belajar Sains tingkatan 5? Kalau nak membantah pun, sekurang-kurangnya kita mesti sama level dengan dia....ataupun ilmu kita mesti lebih tinggi daripada dia. Begitu juga dalam bidang agama. Kita melihat pendapat-pendapat Imam Syafie' misalnya kemudian kita mempertikaikan atau membantah kononnya pendapat itu tak betul, salah, tidak sahih, lemah dan sebagainya. Pendapat Imam Syfie' tak betul, pendapat Muhammad Abdul Wahab baru betul...contohnya. Hebat sungguh kita. Sudahkah kita ukur tahap ilmu kita dengan tahap ilmu Imam Syafie'? Apakah kita sudah mencapai tahap mujtahid sepertimana Imam Syafie’ maka dengan beraninya kita mengatakan itu silap, ini silap? Lain la kalau kita dah hafal melebihi 500,000 hadis…ini, hadis 40 pun masih tak lepas. Baca Al-Fatehah pun masih tak betul... Imam Syafie’ masa umur 7 tahun sudah hafal Al-Quran, umur 10 tahun sudah hafal kitab Muwatto' karangan Imam Malik, umur 12 tahun sudah mula mengajar kitab, umur 15 tahun dah dilantik menjadi Qadhi. Kita? Nak pertikai pendapat Imam2 muktabar konon….

Kepada mereka ini, bermuhasabah lah. Cermin dulu diri anda....di mana kedudukan ilmu kita sekarang? Apakah darjat ilmu kita? Apakah kita layak menjadi murajjih?

Wallahu A'alam

2.2.09

Contoh Bida'ah Yang Dilakukan Sahabat Nabi SAW.

Perkara bida'ah adalah satu hal yang sering dihujahkan oleh golongan Salafi Wahabi walaupun perkara tersebut telah jelas disebut dan diterangkan oleh Jumhur Ulamak. Bagi golongan Salafi Wahabi, apa saja perkara baru dalam agama adalah bida'ah. Mereka cuba memadamkan apa yang telah di sebutkan oleh Imamul Syafie' bahawa : Bida'ah itu terbahagi kepada 2, iaitu bida'ah mahmudah (hasanah) dan bida'ah mazmumah (dholalah).Sekarang, mari kita lihat perkara-perkara bida'ah yang dilakukan oleh para Sahabat Nabi SAW sewaktu bersama dengan Nabi SAW. Aku cukup yakin,kalau ada golongan Wahabi pada waktu itu, pasti para Sahabat Nabi SAW pun mereka akan bida'ahkan.

Kita menyedari antara hujah balas golongan yang menolak dalil dari peristiwa di bawah ini, akan beralasan bahawa pada ketika para Sahabat (r.anhum ajmain) melakukan amalan-amalan yang disebutkan ini, Rasulullah masih hidup pada masa itu dan boleh membetulkan, samada membenar atau melarang perlakuan sedemikian. Namun perlu kita ingat bahawa ‘semangat’ atau kecenderungan mengadakan ‘perkara baharu’ yang tidak diajarkan Rasulullah itu ternyata wujud di kalangan Sahabat dan mereka tidak merasakan itu suatu kesalahan. Malah Rasulullah sendiri tidak pula melarang Sahabat dari melakukan ‘perkara baharu’ itu, walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak pernah mengajarkannya atau melakukannya, dengan syarat perlakuan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawanya, dan berasaskan prinsip umum Shari‘at.~ Penterjemah.



Berikut adalah beberapa peristiwa di mana para Sahabat melakukan ‘perkara baharu’ berasaskan ijtihad masing-masing berpandukan prinsip-prinsip Sunnah:

• Rasulullah bersabda kepada Bilal – moga-moga Allah merahmatinya—pada ketika waktu Sembahyang Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan Islam engkau yang manakah yang paling engkau harapkan ganjarannya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar bunyi tapak kasutmu di dalam Syurga.” Beliau menjawab: “Aku tidak melakukan apa-apa yang lebihku harapkan ganjarannya melainkan aku tidak pernah mengambil air sembahyang samada siang atau malam melainkan aku lakukan sembahyang apa yang patut aku sembahyang”,15 . Dalam riwayat yang lain Bilal berkata: "Aku tidak pernah melaungkan Azan melainkan aku kerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu, dan tidak batal air sembahyangku melainkan aku mengambilnya kembali dan mengerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu apa yang aku berhutang dengan Allah, ” mendengar itu Rasulullah bersabda “bihima”, maksudnya "dengan dua amalan itu [kamu masuk Syurga]."16

Ibn Hajar seterusnya berkata: "Hadith ini mengesahkan bahawa ijtihad dibenarkan dalam penetapan ‘masa’ bagi melakukan sesuatu amalan ibadat".17


• Peristiwa yang seakan sama turut terjadi kepada Sahabat bernama Khubayb ibn Isaf atau Yasaf al-Ansari – moga-moga Allah merahmatinya – yang ditangkap oleh orang kafir Quraisy. Beliau meminta untuk mendirikan sembahyang dua rakaat sebelum beliau dibunuh, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, moga moga Allah merahmatinya. Abu Hurairah meriwayatkan sepertimana ditemui di dua tempat di dalam Sahih Bukhari dengan berkata: "Khubayb adalah orang pertama yang memulakan (sanna) mengerjakan dua rakaat Solat bagi setiap orang Islam yang akan dibunuh oleh musuhnya."


Kaedah umum dalam amalan beribadat, khususnya sembahyang, ialah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah “al-salatu khayru mawdu'in fa aqlil minha aw istakthir” "Sembahyang itu sebaik-baik perkara, oleh itu sembahyanglah samada sedikit atau [jika mampu] banyak”18

Walaupun hadith ini Dha‘if, namun ianya dipersetujui oleh sekalian fuqaha’ Ahlu Sunnah wal Jama‘ah bahawa amalan ibadat fizikal (‘ibadat al-badan) yang terbaik adalah sembahyang, berasaskan dalil dari perintah Allah “Ruku’ dan sujudlah kamu dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan” (22:77), dan juga hadith Rasulullah: "Ketahuilah olehmu amalan kamu yang terbaik ialah sembahyang."19


• Begitu juga seorang Sahabat, Rifa'a ibn Rafi' al-Zurqi, ‘mereka’ doa ketika Rasulullah mengimami Sembahyang Maghrib. Ketika Rasulullah berkata [sebaik bangkit dari ruku’]: "Moga Allah mendengar orang yang memujinya!" Rifa'a menyambung: "Tuhan kami! Segala puji bagi Mu, melimpah ruah, agung, dan penuh keberkatan!" Kemudian Baginda bertanya siapakah yang telah berkata sedemikian kerana para Malaikat telah berebut-rebut berlumba ingin menjadi yang pertama menulisnya.20


Ibn Hajar berkata: "Dari hadith ini boleh dirumuskan ‘kebenaran mencipta’ (jawaz ihdath) doa di dalam sembahyang selain daripada apa yang diterima dari Rasulullah selama mana ianya tidak bercanggah dengan apa yang diterima dari Rasulullah ."21


• Insiden yang hampir sama turut berlaku kepada seorang Sahabat yang datang lambat ketika memasuki saf sembahyang dan memulakan sembahyang dengan perkataan: “Allahu akbaru kabiran wa al-hamdu lillahi kathiran wa Subhanallahi bukratan wa as ila” Maksudnya: Allah itu Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Engkau Ya Allah pagi dan petang” Selepas sembahyang Rasulullah bertanya siapakah yang berkata sedemikian. Seorang sahabat mengaku dan berkata: "Wahai Rasulullah! Tidak aku lakukan itu melainkan berniat baik belaka”. Rasulullah bersabda: "Aku melihat pintu-pintu langit terbuka dengan kerana kalimat itu.” Ibn 'Umar seterusnya menyambung: "Aku tidak pernah berhenti dari menyebutnya sejak itu selepas mendengar sabda Rasulullah itu".22


Di sana ada banyak ayat-ayat dan hadith-hadith lain yang menjelaskan prinsip-prinsip sama seperti di atas. Ianya jelas sekali merupakan satu kejahilan yang amat sangat terhadap asas-asas prinsip Shari‘at dan ilmu Islam – suatu pendekatan yang menyalahi amalan Salaf dan Khalaf di kalangan Ahlul Sunnah wal Jama‘ah – bagi mereka yang mentafsirkan:


"Setiap yang baharu itu Bid‘ah" dalam makna yang mutlak tanpa merujuk kepada hukum Shari‘at yang sudah termaktub dalam setiap kes-kes tersebut.

Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata tentang hadith "Setiap yang baharu itu Bid‘ah":

Ini adalah kaedah umum yang membawa maksud khusus (‘ammun maksus). Apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang baharu’ adalah yang bertentangan dengan Shari‘at. Itu dan itu sahaja yang dimaksudkan dengan Bid‘ah”.23


Begitu juga Abu Bakar ibn al-‘Arabi di dalam Syarahnya berhubung dengan hadith dalam al-Tirmidhi: “iyyakum wa muhdathat al-umur” iaitu “berhati-hati kamu dengan perkara baharu”. Beliau berkata: “Ketahuilah – moga-moga Allah mengajarmu! – bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara baharu’ itu ada dua jenis:

(1) pertama yang tidak mempunyai asas dan mengikut hawa nafsu, yang semestinya ini tidak sah; (2) atau perkara baharu yang selari dengan prinsip yang sudah ada, iaitu Sunnah para Khulafa’ dan para Imam-imam besar. ‘Perkara baharu’ (muhdath) dan ‘bid‘ah’ bukanlah istilah yang semestinya terkandung di dalamnya makna keji dan dibenci kerana Allah sendiri berfirman”:

Tidaklah datang kepada mereka itu peringatan yang baharu (dhikrun muhdath) dari Tuhan mereka melainkan mereka mendengarnya sambil mengejeknya (21:2)

Saiyyidina 'Umar – moga-moga Allah merahmatinya – sendiri pernah menyebut: “Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”24

Bid‘ah yang dikeji hanyalah yang bertentangan dengan Sunnah, dan inilah sahaja ‘perkara baharu’ yang membawa kepada kesesatan.25

*****************************************************************************************************************

15 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, dan Ahmad.
16 Diriwayatkan daripada Buraydah al-Aslami oleh al-Tirmidhi sebagai hadith Hasan Sahih Gharib. Al- Hakim mengesahkan ianya Sahih dan turut dipersetujui oleh al-Dhahabi .
17 Fath al-Bari (cetakan 1959, 3:63 #1098). (Pentj: Kritikan bahawa penetapan masa untuk sesuatu amalan
ibadat tertentu tidak dibenarkan hanya kerana ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah jelas sekali tidak berasas. Contohnya seperti membaca Surah Yasin di malam Jumaat dan lain-lain).
18 ‘Al-salatu khayrun mawdu'un’. Diriwayatkan daripada Abu Dharr oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dengan tiga periwayatan yang Dha’if, walaupun al-Zayn mengisytiharkan salah satunya baik (16:259 #22189), oleh al-Quda'i dalam Musnad al-Shihab (1:378 #651), al-Hakim yang menilainya Sahih tetapi al-Dhahabi melihat sanad ini mengandungi Yahya ibn Sa'id Abu Zakariyya al-Sa'di al-Basri, seorang yang lemah sepertimana disebut oleh Ibn 'Adi di dalam al-Kamil fi al-Du'afa' (7:244 #2142), oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan, sebagai sebahagian dari hadith yang panjang, oleh Abu Nu'aym di dalam al-Hilya dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Arna'ut (2:76 #361); juga diriwayatkan daripada Abu Hurayra oleh al-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami, dan daripada Abu Umamah oleh Ahmad and al-Tabarani di dalam al-Kabir (8:217 #7871) dengan sanad lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami dalam Majma' al-Zawa'id (1:159). Ibn Hajar menyebut kelemahannya dalam Talkhis al-Habir (1964 ed. 2:21 #542) dan Fath al-Bari (cetakan 1959, 2:480 #946).
19 Diriwayatkan melalui hadith yang panjang daripada Thawban dengan sanad yang Sahih oleh Ibn Majah
dan Ahmad. Imam Malik turut menyebutnya di dalam Muwatta' beliau.
20 Diriwayatkan daripada Rifa'a oleh Bukhari, al-Nasa'i, Ahmad, dan Malik.
21 Fath al-Bari (cetakan 1959. 2:287 #766).
22 Diriwayatkan daripada Ibn 'Umar oleh Muslim, al-Tirmidhi (Hasan Sahih Gharib), al-Nasa'i melalui dua periwayatan, dan Ahmad dengan beberapa sanad dalam Musnadnya. Salah satu dari versi al-Nasa'i' ialah:
"Aku melihat dua belas malaikat berebut untuk itu," manakala dua daripada versi Ahmad pula ialah: " Aku
melihat ucapanmu naik ke langit sehingga pintu dibuka dan masuk mereka ke dalamnya"
23 Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim (cetakan 1972. 6:154).
24 Diriwayatkan daripada 'Abd al-Rahman ibn 'Abd al-Qari oleh Bukhari, dan Imam Malik di dalam Muwatta' nya
25 Ibn al-'Arabi, 'Arida al-Ahwadhi, Kitab Ilmu, Bab “Berkenaan dengan mengikuti Sunnah dan meninggalkan Bid‘ah" (Ma ja'a fi al-akhdhi bi al-Sunna wa ijtinab al-Bid‘ah).


1.2.09

Tasawuf Dan Tarekat : Suatu Penjelasan

Tasawuf Dan Tarekat : Suatu Penjelasan 1



Tasawuf Dan tarekat : Suatu Penjelasan 2



Tasawuf Dan Tarekat : Suatu Penjelasan 3



Tasawuf Dan Tarekat : Suatu Penjelasan 4