BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ

خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُون

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka . Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

(Al-An'am:32)

2.2.09

Contoh Bida'ah Yang Dilakukan Sahabat Nabi SAW.

Perkara bida'ah adalah satu hal yang sering dihujahkan oleh golongan Salafi Wahabi walaupun perkara tersebut telah jelas disebut dan diterangkan oleh Jumhur Ulamak. Bagi golongan Salafi Wahabi, apa saja perkara baru dalam agama adalah bida'ah. Mereka cuba memadamkan apa yang telah di sebutkan oleh Imamul Syafie' bahawa : Bida'ah itu terbahagi kepada 2, iaitu bida'ah mahmudah (hasanah) dan bida'ah mazmumah (dholalah).Sekarang, mari kita lihat perkara-perkara bida'ah yang dilakukan oleh para Sahabat Nabi SAW sewaktu bersama dengan Nabi SAW. Aku cukup yakin,kalau ada golongan Wahabi pada waktu itu, pasti para Sahabat Nabi SAW pun mereka akan bida'ahkan.

Kita menyedari antara hujah balas golongan yang menolak dalil dari peristiwa di bawah ini, akan beralasan bahawa pada ketika para Sahabat (r.anhum ajmain) melakukan amalan-amalan yang disebutkan ini, Rasulullah masih hidup pada masa itu dan boleh membetulkan, samada membenar atau melarang perlakuan sedemikian. Namun perlu kita ingat bahawa ‘semangat’ atau kecenderungan mengadakan ‘perkara baharu’ yang tidak diajarkan Rasulullah itu ternyata wujud di kalangan Sahabat dan mereka tidak merasakan itu suatu kesalahan. Malah Rasulullah sendiri tidak pula melarang Sahabat dari melakukan ‘perkara baharu’ itu, walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak pernah mengajarkannya atau melakukannya, dengan syarat perlakuan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawanya, dan berasaskan prinsip umum Shari‘at.~ Penterjemah.



Berikut adalah beberapa peristiwa di mana para Sahabat melakukan ‘perkara baharu’ berasaskan ijtihad masing-masing berpandukan prinsip-prinsip Sunnah:

• Rasulullah bersabda kepada Bilal – moga-moga Allah merahmatinya—pada ketika waktu Sembahyang Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan Islam engkau yang manakah yang paling engkau harapkan ganjarannya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar bunyi tapak kasutmu di dalam Syurga.” Beliau menjawab: “Aku tidak melakukan apa-apa yang lebihku harapkan ganjarannya melainkan aku tidak pernah mengambil air sembahyang samada siang atau malam melainkan aku lakukan sembahyang apa yang patut aku sembahyang”,15 . Dalam riwayat yang lain Bilal berkata: "Aku tidak pernah melaungkan Azan melainkan aku kerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu, dan tidak batal air sembahyangku melainkan aku mengambilnya kembali dan mengerjakan sembahyang dua rakaat selepas itu apa yang aku berhutang dengan Allah, ” mendengar itu Rasulullah bersabda “bihima”, maksudnya "dengan dua amalan itu [kamu masuk Syurga]."16

Ibn Hajar seterusnya berkata: "Hadith ini mengesahkan bahawa ijtihad dibenarkan dalam penetapan ‘masa’ bagi melakukan sesuatu amalan ibadat".17


• Peristiwa yang seakan sama turut terjadi kepada Sahabat bernama Khubayb ibn Isaf atau Yasaf al-Ansari – moga-moga Allah merahmatinya – yang ditangkap oleh orang kafir Quraisy. Beliau meminta untuk mendirikan sembahyang dua rakaat sebelum beliau dibunuh, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, moga moga Allah merahmatinya. Abu Hurairah meriwayatkan sepertimana ditemui di dua tempat di dalam Sahih Bukhari dengan berkata: "Khubayb adalah orang pertama yang memulakan (sanna) mengerjakan dua rakaat Solat bagi setiap orang Islam yang akan dibunuh oleh musuhnya."


Kaedah umum dalam amalan beribadat, khususnya sembahyang, ialah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah “al-salatu khayru mawdu'in fa aqlil minha aw istakthir” "Sembahyang itu sebaik-baik perkara, oleh itu sembahyanglah samada sedikit atau [jika mampu] banyak”18

Walaupun hadith ini Dha‘if, namun ianya dipersetujui oleh sekalian fuqaha’ Ahlu Sunnah wal Jama‘ah bahawa amalan ibadat fizikal (‘ibadat al-badan) yang terbaik adalah sembahyang, berasaskan dalil dari perintah Allah “Ruku’ dan sujudlah kamu dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan” (22:77), dan juga hadith Rasulullah: "Ketahuilah olehmu amalan kamu yang terbaik ialah sembahyang."19


• Begitu juga seorang Sahabat, Rifa'a ibn Rafi' al-Zurqi, ‘mereka’ doa ketika Rasulullah mengimami Sembahyang Maghrib. Ketika Rasulullah berkata [sebaik bangkit dari ruku’]: "Moga Allah mendengar orang yang memujinya!" Rifa'a menyambung: "Tuhan kami! Segala puji bagi Mu, melimpah ruah, agung, dan penuh keberkatan!" Kemudian Baginda bertanya siapakah yang telah berkata sedemikian kerana para Malaikat telah berebut-rebut berlumba ingin menjadi yang pertama menulisnya.20


Ibn Hajar berkata: "Dari hadith ini boleh dirumuskan ‘kebenaran mencipta’ (jawaz ihdath) doa di dalam sembahyang selain daripada apa yang diterima dari Rasulullah selama mana ianya tidak bercanggah dengan apa yang diterima dari Rasulullah ."21


• Insiden yang hampir sama turut berlaku kepada seorang Sahabat yang datang lambat ketika memasuki saf sembahyang dan memulakan sembahyang dengan perkataan: “Allahu akbaru kabiran wa al-hamdu lillahi kathiran wa Subhanallahi bukratan wa as ila” Maksudnya: Allah itu Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Engkau Ya Allah pagi dan petang” Selepas sembahyang Rasulullah bertanya siapakah yang berkata sedemikian. Seorang sahabat mengaku dan berkata: "Wahai Rasulullah! Tidak aku lakukan itu melainkan berniat baik belaka”. Rasulullah bersabda: "Aku melihat pintu-pintu langit terbuka dengan kerana kalimat itu.” Ibn 'Umar seterusnya menyambung: "Aku tidak pernah berhenti dari menyebutnya sejak itu selepas mendengar sabda Rasulullah itu".22


Di sana ada banyak ayat-ayat dan hadith-hadith lain yang menjelaskan prinsip-prinsip sama seperti di atas. Ianya jelas sekali merupakan satu kejahilan yang amat sangat terhadap asas-asas prinsip Shari‘at dan ilmu Islam – suatu pendekatan yang menyalahi amalan Salaf dan Khalaf di kalangan Ahlul Sunnah wal Jama‘ah – bagi mereka yang mentafsirkan:


"Setiap yang baharu itu Bid‘ah" dalam makna yang mutlak tanpa merujuk kepada hukum Shari‘at yang sudah termaktub dalam setiap kes-kes tersebut.

Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata tentang hadith "Setiap yang baharu itu Bid‘ah":

Ini adalah kaedah umum yang membawa maksud khusus (‘ammun maksus). Apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang baharu’ adalah yang bertentangan dengan Shari‘at. Itu dan itu sahaja yang dimaksudkan dengan Bid‘ah”.23


Begitu juga Abu Bakar ibn al-‘Arabi di dalam Syarahnya berhubung dengan hadith dalam al-Tirmidhi: “iyyakum wa muhdathat al-umur” iaitu “berhati-hati kamu dengan perkara baharu”. Beliau berkata: “Ketahuilah – moga-moga Allah mengajarmu! – bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara baharu’ itu ada dua jenis:

(1) pertama yang tidak mempunyai asas dan mengikut hawa nafsu, yang semestinya ini tidak sah; (2) atau perkara baharu yang selari dengan prinsip yang sudah ada, iaitu Sunnah para Khulafa’ dan para Imam-imam besar. ‘Perkara baharu’ (muhdath) dan ‘bid‘ah’ bukanlah istilah yang semestinya terkandung di dalamnya makna keji dan dibenci kerana Allah sendiri berfirman”:

Tidaklah datang kepada mereka itu peringatan yang baharu (dhikrun muhdath) dari Tuhan mereka melainkan mereka mendengarnya sambil mengejeknya (21:2)

Saiyyidina 'Umar – moga-moga Allah merahmatinya – sendiri pernah menyebut: “Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”24

Bid‘ah yang dikeji hanyalah yang bertentangan dengan Sunnah, dan inilah sahaja ‘perkara baharu’ yang membawa kepada kesesatan.25

*****************************************************************************************************************

15 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh Bukhari, Muslim, dan Ahmad.
16 Diriwayatkan daripada Buraydah al-Aslami oleh al-Tirmidhi sebagai hadith Hasan Sahih Gharib. Al- Hakim mengesahkan ianya Sahih dan turut dipersetujui oleh al-Dhahabi .
17 Fath al-Bari (cetakan 1959, 3:63 #1098). (Pentj: Kritikan bahawa penetapan masa untuk sesuatu amalan
ibadat tertentu tidak dibenarkan hanya kerana ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah jelas sekali tidak berasas. Contohnya seperti membaca Surah Yasin di malam Jumaat dan lain-lain).
18 ‘Al-salatu khayrun mawdu'un’. Diriwayatkan daripada Abu Dharr oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dengan tiga periwayatan yang Dha’if, walaupun al-Zayn mengisytiharkan salah satunya baik (16:259 #22189), oleh al-Quda'i dalam Musnad al-Shihab (1:378 #651), al-Hakim yang menilainya Sahih tetapi al-Dhahabi melihat sanad ini mengandungi Yahya ibn Sa'id Abu Zakariyya al-Sa'di al-Basri, seorang yang lemah sepertimana disebut oleh Ibn 'Adi di dalam al-Kamil fi al-Du'afa' (7:244 #2142), oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan, sebagai sebahagian dari hadith yang panjang, oleh Abu Nu'aym di dalam al-Hilya dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Arna'ut (2:76 #361); juga diriwayatkan daripada Abu Hurayra oleh al-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad yang lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami, dan daripada Abu Umamah oleh Ahmad and al-Tabarani di dalam al-Kabir (8:217 #7871) dengan sanad lemah sepertimana disebut oleh al-Haythami dalam Majma' al-Zawa'id (1:159). Ibn Hajar menyebut kelemahannya dalam Talkhis al-Habir (1964 ed. 2:21 #542) dan Fath al-Bari (cetakan 1959, 2:480 #946).
19 Diriwayatkan melalui hadith yang panjang daripada Thawban dengan sanad yang Sahih oleh Ibn Majah
dan Ahmad. Imam Malik turut menyebutnya di dalam Muwatta' beliau.
20 Diriwayatkan daripada Rifa'a oleh Bukhari, al-Nasa'i, Ahmad, dan Malik.
21 Fath al-Bari (cetakan 1959. 2:287 #766).
22 Diriwayatkan daripada Ibn 'Umar oleh Muslim, al-Tirmidhi (Hasan Sahih Gharib), al-Nasa'i melalui dua periwayatan, dan Ahmad dengan beberapa sanad dalam Musnadnya. Salah satu dari versi al-Nasa'i' ialah:
"Aku melihat dua belas malaikat berebut untuk itu," manakala dua daripada versi Ahmad pula ialah: " Aku
melihat ucapanmu naik ke langit sehingga pintu dibuka dan masuk mereka ke dalamnya"
23 Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim (cetakan 1972. 6:154).
24 Diriwayatkan daripada 'Abd al-Rahman ibn 'Abd al-Qari oleh Bukhari, dan Imam Malik di dalam Muwatta' nya
25 Ibn al-'Arabi, 'Arida al-Ahwadhi, Kitab Ilmu, Bab “Berkenaan dengan mengikuti Sunnah dan meninggalkan Bid‘ah" (Ma ja'a fi al-akhdhi bi al-Sunna wa ijtinab al-Bid‘ah).


0 comments: