MEMBINA KUBAH DAN MASJID DI SISI MAKAM
Disediakan oleh:
Al-haqir Wal- faqir Abd. Raof Nurin Al Bahanji Al-Aliyy. Pondok Tampin NSDK.
ألسلام عليكم ورحمة الله وبركتة .
Wahabi berdalil dengan serangkaian hadis mengharamkan pembangunan kubah dan masjid di sisi makam berdasarkan beberapa kefahaman daripada hadis ini.
Imam Bukhari meriwayatkan dua hadis di dalam Sahihnya pada bab “Makruh menjadikan kuburan sebagai masjid”.
Pertama : Ketika Hasan bin Hasan bin Ali meninggal dunia, isterinya memasang sebuah kubah di atas kuburan, ketika setahun kemudian ia mengangkatnya kembali, orang –orang mendengar suara teriakkan “Apakah mereka telah menemukan yg hilang?”, Suara yg lain mengjawab “Bahkan mereka berputus asa dan berbalik”.
Kedua : Allah melaknat orang- orang Yahudi dan Nasrani yg menjadikan kuburan Nabi mereka sebagai masjid. Siti Aishah berkata , jika bukan kerana takut hal itu ( Makam Nabi akan menjadikan Masjid) nescaya kaum muslimin akan menampakkan makam Baginda S.A.W yakni tidak meletakkan perghalang/tutupan dinding di sekitarnya, hanya saja saya khuatir makamnya dijadikan masjid.
Ketiga : Dalam sahih Muslim, jilid 2 m/s 68 “ Ketahuilah bahawa orang – orang sebelum kamu menjadikan Makam Nabi – Nabi mereka sebagai Masjid, maka janganlah sekali- kali sekelian kamu menjadikan kubur sebagai masjid, saya mencegah kamu semua dari berbuat begitu.”
Keempat: Sahih Muslim Kitab Al- Masajid jilid 2 m/s 66 “ Ummu Habibah dan Ummu Salamah menyebutkan , bahawa keduanya melihat lukisan rupa Rasul Allah di sebuah gereja di Habsah ( yakni ketika mereka berhijrah kesana bersama muhajirin ketika hijrah pertama). Rasullah S.A.W bersabda “ Mereka adalah (golongan) orang yg apabila ada orang soleh di kalangan mereka meninggal dunia, mereka membangunkan masjid diatas makam dan melukis lukisan- lukisan tersebut, mereka adalah paling jahat makhluk di sisi Allah di hari kiamat”.
Kelima : Sunan Nasa`I jilid 3 m/s 77 “ Rasullah S.A.W melaknat wanita- wanita yg berziarah kekubur , orang- orang yg menjadikannya sebagai masjid serta orang yg menyalakan lampu di tempat tersebut.”
Inilah beberapa dalil yg diutarakan oleh golongan Wahabi, sehingga mereka meruntuhkan kubah- kubah yg di bina beratus tahun dan merosakkan sebahagian besar daripada kesan sejarah warisan daripada sahabat Radiallahu Anhum khususnya daripda Rasullah S.A.W . Sehingga pada hari ini usahkan kelihatan zahirnya tempat-tempat perjalanan peristiwa penting didalam agama, namanya pun hampir tidak kedengaran lagi. Misalnya Telaga Mengambil Wuduk S.A.W yg berada di sekitar Masjid Nabi S.A.W. Beberapa kesan sejarah yg berada di Badar Al- Kubra yg telah mereka hapuskan. Ini boleh kita dapati dengan membaca dan menelitinya daripada ulasan Pakar Sejarah , Doktor Husain Haikal. Beliau telah menitiskan air mata kesayuan apabila sampai di Badar Al- Kubra, tatkala mendapati tiada satupun kesan zahir yg ketinggalan melainkan telah lenyap- selenyapnya oleh penbenterasan Wahabi.
Ibnu Taimiyah adalah orang yg mula- mula menyebarkan keyakinan ini sedang Muhammad bin Abdul Wahab ( Pengasas Wahabi) adalah yg selalu yg mengikutinya. Beliau menafsirkan bahawa tidak boleh membangunkan masjid di atas atau di sebelah makam. Ibnu Taimiyah juga menulis “Bahawa ulamak kita berkata bahawa tidak boleh dibangunkan masjid dikuburan”. Lihat ziarah kubur m/s 106. Tetapi Ibnu Taimiyyah tidaklah sedahsyat Wahabi yg telah berjaya mempraktikkan seluruh idea tersebut.
Sekarang marilah kita meneliti matan- matan hadis tersebut sehingga jelas kandungan maksudnya yang sebenar. Hal ini penting yg perlu diperhatikan, sebagaimana kita boleh mendapatkan penerangan bagi kesamaran sesuatu ayat Al-Quran dengan menafsirkannya dengan berdasarkan ayat yg lain, begitu pulalah hadis kita dapati penjelasan sesuatu kesamarannya dengan meneliti tafsirannya pada hadis yg lain. Wahabi dengan kebiasaannya berpegang pada zahir sesuatu hadis, beranggapan bahawa seluruh pembinaan kubah atau masjid di samping makam adalah terlarang dan haram hukumnya sehingga dikatakan syirik. Padahal jika mereka mengumpulkan semua hadis berkenaanNya nescaya akan diketahui maksud Nabi S.A.W dengan larangan dan laknat pada hadis- hadis tersebut.
Untuk mengetahui maksud hadis tersebut secara benar, kita mestilah mengetahui apakah yg telah dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani terhadap Makam Nabi-Nabi mereka.Nabi S.A.W melarang kita berbuat seperti mana halnya perbuatan Yahudi dan Nasrani tersebut dan ianya akan menjadi jelas bentuk larangan dan maksudnya jika kita mengetahui isi perbuatan mereka itu. Dalam hadis- hadis tersebut terdapat bukti bahawa mereka menjadikan Makam- Makam Nabi mereka sebagai KIBLAT . Mereka meninggalkan kiblat yg sebenarnya , lebih jauh daripada itu sebagai mengganti penyembahan terhadap Allah , mereka menyembah Nabi- Nabi mereka, atau paling tidak, mereka menjadikan Nabi- Nabi mereka sebagai SEKUTU TUHAN dalam sembahan.
Jika maksud hadis itu adalah larangan menjadikan makam mereka sebagai kiblat atau menjadi sekutu Allah dalam sembahan, Maka tidak menjadi alasan sama sekali berdalil dengan hadis- haids tersebut untuk mengharamkan kubah dan masjid yg dibina di atas atau disisi kubur. Para penziarah tidak pernah menjadikan Makam Para Sahabat dan Tabiin dan Para Ulamak di Ma’la dan Baq`i sebagai tempat sembahan, mereka menyembah Tuhan yg Esa dan menghadap Kaabah ketika sembahyang.Para penziarah yg tentunya terdiri bukan saja daripada awam muslimin bahkan dikalangan Sahabat, Tabi’in , dan Ulamak Solihin , tidak pernahlah tertipu dengan dakwaan Wahabi menziarahi dan membina kubah di kuburan sebagai menyembah kuburan .Ini jelas jika kita memerhatikan pengebumian jenazah didalam masjid atau binaan telah berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W.
As Samhudi dalam Wafa ul Wafa jilid 3 m/s 97 “ ketika Fatimah binti Asad meninggal dunia, Nabi memerintahkan menguburkannya di sebuah masjid dan sekarang dikenali sebagai Makam Fatimah. Samhudi juga berkata Mus` ab bin Umair dan Abdullah bin Jahsi telah dimakamkan di masjid yg dibina di atas Makam Hamzah Radiallahuanhu”. Wafa ul Wafa jilid 3 m/s 922 dan 936.
Rasulullah S.A.W sendiri ,telah di Makamkan didalam binaan , yaitu Hujrah Sayyidatina A’yisah Ra, anha dengan Ijmak Para Sahabat Ra,anhum. Dan berbagai lagi dalil yg didapati mengharuskan pembinaan Kubah diatas Makam. Sebahagian Ulamak telah mengemukakan 15 dalil dan hujjah keharusan membina Kubah dan Masjid disisi Makam.
Berbalik kepada makna perbahasan hadis tersebut, marilah kita memerhatikan beberapa riwayat hadis sahih yg menjadi tafsiran kepada beberapa hadis yg menjadi dalil kepada Wahabi tersebut.
Di antara riwayat hadis tersebut adalah seperti berikut:
Riwayat hadis Muslim yg keempat ( hadis yg keempat) menjadi penjelasan kepada hadis- hadis yg sebelumnya. Iaitu ketika dua isteri Nabi S.A.W mengatakan mereka menyaksikan lukisan – lukisan Nabi di dalam gereja Habshah, lantas Nabi bersabda “ Mereka adalah orang- orang yg apabila, orang soleh dikalangan mereka meninggal dunia lantas mereka membuat masjid atasnya dan melukis lukisan- lukisannya di masjid tersebut.” Tujuan meletakkan lukisan di sisi makam mereka adalah untuk bersujud dengan menjadikan lukisan dan makam mereka sebagai kiblat, lebih jauh mereka menjadikan lukisan dan makam sebagai berhala yg disembah. Kemungkinan ini perlu di perhatikan sebab orang –orang Nasrani memiliki kecenderungan yg sangat untuk menyembah manusia dan patung. Dengan adanya kemungkinan yg kuat ini adalah keliru menggunakan hadis- hadis yg tersebut sebagai dalil pengharaman pembinaan masjid diatas atau disebelah makam- makam yg terlepas daripada penyalahgunaan tujuan pembinaannya semacam ini. Imam Ahmad didalam Musnad beliau jilid 3 m/s 248, dan Imam Malik didalam Al- Muwatak, kedua Beliau ini telah meriwayatkan daripada Nabi S.A.W setelah Baginda melarang penyalah gunaan tersebut lalu berdoa” Ya Allah , janganlah kau jadikan KUBURKU sebagai BERHALA yg disembah”. Ayat doa daripada Nabi ini jelas menunjukkan bahawa kesalahan terletak pada memperlakukan kuburan seperti berhala atau kiblat. Hadis Siti Aishah yg kedua, menjelaskan kebenaran ini iaitu setelah menukilkan hadis tersebut daripada Nabi S.A.W, kemudian Siti Aishah berkata “ Jika bukan kerana takut hal itu (Makam Nabi ) dijadikan masjid , nescaya kaum Muslimim akan menampakkan Makamnya ( tidak menaruh tutupan disekitarnya) hanya saja saya khuatir, jika dinampakkan akan di jadikan Masjid.” Jelaslah bahawa tutupan atau penghalang atau tembok yg dibina adalah untuk mencegah orang daripada mendirikan sembahyang diMakam atau menjadikannya berhala atau kiblat. Bukan bermakna semata-mata muthlak larangan membina Masjid sebagaimana yg difahamkan oleh Wahabi. Ini bukanlah satu takwil atau tafsiran yg disangka oleh Wahabi, sebagai menyeleweng daripada maksud sebenar yg mereka jadikan dalil, larangan pembinaan masjid dan kubah disisi makam.
Al Allaamah Sindi dalam Ta’liq beliau pada Sunan Nasa i, jilid 2 m/s 41 telah menafsirkan larangan yg dimaksudkan dengan catitan yg bermaksud “Beliau ( S.A.W) mencegah umatnya daripada perbuatan Yahudi dan Nasrani, kerana mereka sujud di kuburan Nabi- Nabi mereka dengan mengagung- agungkanNya dengan menjadikanNya KIBLAT.
Kita perhatikanlah akibat daripada tutupan dari tembok yg terbina di makam Nabi S.A.W.
1) Mencegah orang –orang menjadikannya sebagai berhala dan disembah. Dengan adanya penghalang/ tutupan mereka tidak dapat lagi melihat makam dan dijadikannya sebagai sembahan berhala.
2) Mencegah orang – orang menjadikan makam sebagai kiblat, didalam hal ini menjadikan kiblat bererti melihat makam. Kiblat disini bukanlah bermaksud Ka’bah baik dilihat mahupun tidak, sebab Ka’bah adalah Kiblat rasmi Muslimin sedunia. Adapun menjadikan makam sebagai kiblat, maka khusus bagi mereka yg mendirikan sembahyang didalam Masjid Baginda S.A.W. Penyelewengan- penyelewengan sedemikian lebih mungkin terjadi apabila Makam telah ternampak sebagaimana dikhuatirkan oleh Siti Aishah Ra, ha..
3) Para pensyarah Kitab Sahih Bukhari dan Muslim menafsirkan hadis tersebut seperti yg kita huraikan. Tidaklah kita menyelewengkan sedikitpun tafsiran seperti yg telah didakwa oleh Wahabi.
Imam Al Qastalani didalam Kitab Irsyad AsSari syarah Sahih Bukhari berkata, ”Orang- orang Yahudi dan Nasrani, untuk menghidupkan peringatan pada sesepoh (orang-orang tua) mereka , memasang lukisan disisi makam- makam mereka dan menyembah Allah disebelahnya. Namum para penerus setelah mereka kerana godaan syaitan, menyembah lukisan tersebut.”
Kemudian Al Qastalani menukilkan dari Tafsir Baidhowi, “ Dikeranakan kaum Yahudi dan Nasrani bersujud di Makam Nabi mereka untuk mengagungkannya serta menjadikannya sebagai berhala maka kaum Muslimin dilarang daripada melakukan hal seperti itu. Adapun jika seseorang , atas dasar ingin bertabarruk membangun masjid disebelah Makam Orang Soleh, bukan untuk menyembahnya dan bukan nya untuk menghadapnya ketika sembahyang, maka ia tidak termasuk didalam ancaman ini.”
Imam Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Kitab Fathul Bari mendokong Tafsiran ini dan berkata, “ Yg dilarang adalah kondisi kubur, seperti yg berlaku dikalangan Ahli Kitab, jika BUKAN DEMIKIAN MAKA TIDAK DILARANG.”
Dalam syarah Muslim m/s 13 juzuk 5 Darul Saqafiah Al- Arabiah Fil Bait, Imam Nawawi mengkomentari hal ini dengan berkata, “ Sesungguhnya Nabi S.A.W melarang umatnya dari menjadikan makam beliau dan makam lain beliau sebagai masjid, hal itu dikeranakan agar Muslimin tidak berlebih- lebihan dalam mengagungkan sehingga terfitnah dengannya, maka barangkali membawa kepada kekufuran SEBAGAIMANA YG TELAH BERLAKU PADA KEBANYAKAN PADA UMAT- UMAT YG TERDAHULU. Ketika berhajat Para Sahabat Radiallahu ta’ala dan Para Tabi’in membesarkan masjid S.A.W bila mana muslimin bertambah ramai, dan bertambah melebar luas masjid sehingga termasuklah rumah para Ummahatul Mukminin didalam masjid dan sebahagian daripadanya ialah bilik Siti Aishah R,anha yg dimakamkan didalamnya Rasulullah S.A.W dan Dua Orang Sahabat Baginda, mereka ( Para Sahabat dan Tabiin ) telah membina benteng tinggi yg bulat mengelilingi makam agar tidak kelihatan dari masjid, yg mana mungkin menyebabkan bersembahyang BAGINYA (MENGHADAPNYA) OLEH ORANG- ORANG AWAM YG MEMBAWA KEPADA PERKARA YG TERLARANG. Kemudian mereka juga membina dua dinding di dua tiang kubur dipihak kiri dan tepi keduanya hingga bertemu, sehingga tidak memungkinkan seseorang menghadap ke arah kubur. Kerana sebab inilah apa yg telah disabdakan oleh Nabi S.A.W didalam hadis.
Perkataan Siti Aishah mengisyaratkan kenyataan ini, “ Jikalau tidaklah demikian itu , nescaya dinyatakan kelihatan kuburnya Nabi S.A.W, hanyalah kerana ditakuti bahawa dijadikan dia masjid.”
Waallhu taala bi sawab
Pensyarah lain pula berkata, perkataan Siti Aishah adalah berkaitan dengan masa sebelum perluasan masjid. Adapun setelah perluasan masjid dan biliknya dimasukkan didalam masjid , maka bilik tersebut dijadikan berbentuk segitiga hingga orang tidak sembahyang dimakam Nabi S.A.W. Kemudian berkata pensyarah tersebut , golongannya Nasrani dan Yahudi menyembah Para Nabi disebelah makam mereka dan menjadikan mereka sebagai sekutu Allah.
Dengan konteks dan pemahaman para pensyarah hadis tersebut , tidak memungkinkan adanya permahaman – pemahaman yg lain dan mereka berfatwa pula dengannya. Jikalau Wahabi ingin berbahas dengan matan hadis secara ilmu mengikut mantik , balaghah dan nahu saraf dan alat- alatnya dipersilakan jika mereka mahu berbuat demikian. InsyaAllah sekadar yg kefahaman yg dianugerahkan Allah akan kita sambut dengan senang hati.
Sekarang kita berpaling dari konteks pemahaman hadis tersebut, dan menghuraikan permasalahan di sudut yg lain pula.Bahawa hadis tersebut berkenaan dengan masjid dan kubah yg dibangunkan diatas kuburan . Ini adalah hal yg berkaitan dengan bangunan dan kubah diatas makam yg mulia. Sedangkan dikebanyakan tempat yg dijumpai , masjid dibangun disebelah makam para Imam, seperti Imam Syafi`e, Sheikh Abdul Qadir Jalani dan ada yg terpisah bangunan masjid dari kuburnya dan ada yg dipisahkan oleh bilik yg khas . Maka dalam konteks Pembinaan Masjid yg terlarang ,jika menurut kefahaman wahabi ,adalah tidak termasuk dalam kategori tersebut. Bagaimana boleh kita katakan , membina masjid disamping kuburan hukumnya haram, kerana semua orang menyaksikan masjid Nabi berada disamping makam beliau. Jika dikatakan Masjid Nabi hukumnya adalah khusus pada masjid Nabi sahaja, dan pula terbina Masjid Nabi saw lebih dahulu dari adanya Makam Baginda saw. Maka dijawab: Dimana diambil dalil pengkhususan dan pengecualian tersebut jika hanya berdasarkan hadis-hadis yg telah dibahaskan tersebut yg dilalahnya menunjjukkan keumuman larangan?. Mengapa Makam Kedua Sahabat termasuk dalam binaan,padahal keduanya bukan Nabi?. Dan jika terdahulunya terbina Masjid dari keberadaan Makam sebagai hujjah ,mengapa sahabat memahamkam boleh dibinakan Masjid sehingga meliputi Makam ?. Jika para sahabat, merupakan teladan yg harus diikuti, kenapa didalam masalah ini kita membantahi mereka?. Mengapa mereka membiarkan saja kehendak Saidina Abu Bakar dan Umar rahuma untuk di semadikan di binaan bersama Nabi saw?. Mereka yg telah memperluaskan masjid hingga makam Nabi dan sahabatnya berada ditengah- tengah masjid. Jika benarlah membangunkan masjid disisi makam tidak dibolehkan, mengapakan muslimin memperluaskan masjid Nabi dari semua arah sehinggakan makamnya berada ditengah- tengah. Adakah mereka dikata kan tidak faham atau tidak menghiraukan kebimbangan Siti Aisyah rha.?. Atau membantahi Rasul Nya s.a.w?. Padahal dahulunya masjid berada disudut timur makam, dikeranakan perluasan, bahagian barat dan hadapan termasuk didalam masjid. Mengapa tidak diperluaskan hanya arah yg tidak melibatkan Makam?. Sebenarnya riwayat tersebut hanya menjelaskan kepada kita bahwa Nabi saw melarang pembangunan masjid diatas atau disisi makam/ kubur. Tetapi tidak ada dalil yg pasti, menunjukkan larangan tersebut adalah haram. Itu pun hanya berdasarkan illah-illah yg tertentu. Adalah kemungkinan larangan tersebut adalah bererti Tanzih atau makruh, sebagaimana yg telah ditafsirkan oleh Al Bukhari didalam bab “Dimakruhkan membuat masjid diatas kuburan”. Sahih Bukhari jilid m/s 111. Soalnya mengapakah hanya Hukum Makruh yg dicatit Al Bukhary ,tidak Haram?. Tentulah ada sesuatu sebab sehingga terjadinya penghukuman yg tidak putus keharamannya, sebagaimana yg dibahas dalam Ilmu Usul Fiqah. .
Wahabi telah mencari dalih untuk menghancurkan kubah di Ba`qi dengan alasan bahawa tanah di Ba`qi adalah tanah wakaf, dengan sedemikian semestinya segenap inci digunakan . Segala sesuatu yg bersifat kekal mestilah di hapuskan termasuklah bangunan di atas makam keluarga Rasullah S.A.W kerana hal tersebut mengurangi manfaat tanah wakaf tersebut. Jadi kesemua tiang , tembok , bangunan, tembok kubah pada makam- makam semestinya di hilangkan agar maksud terlaksana. Ini hanyalah helah Wahabi , realitinya jika tidak berdalil pun ,mereka akan menghancurkan semahunya. Kerana dasar inilah mereka mencari dalil dan mendakwa tanah di Ba`qi adalah wakaf, padahal itu adalah prasangka sahaja. Tidak ada kitab sejarah atau hadis, tanah Ba`qi adalah wakaf, yg ada memperkirakan Ba`qi sebagai tanah yg mati. Masyarakat Madinah memakamkan ahli mereka disana.
As Samhudi didalam Wafaul Wafa menulis, bahawa orang pertama dimakamkan di Ba`qi adalah Usman bin Maz`un. Ketika putera Nabi Saidina Ibrahim wafat, Baginda memerintah agar dikebumikan disebelah Usman bin Maz`un. Mulai saat itu orang memakamkan mayat mereka di Ba`qi. Mereka menebang pokok- pokok dan membahagikan tempat untuk kabilah mereka . Selanjutnya dikatakan bahawa di tanah Ba`qi terdapat pokok yg bernama Gharqad.Pokok Gharqad adalah pokok yg terdapat dipadang pasir di Madinah dan tumbuhnya dijarak yg berjauhan . Dari kenyataan tersebut, Ba`qi adalah tanah mati, bukannya tanah wakaf. Dikeranakan makamnya seorang sahabat disana, orang- orang menjadikan kuburan.
Samhudi juga meriwayatkan Nabi juga memakamkan tubuh Saad bin Mu`az di rumah Ibnu Aflah yg mempunyai KUBAH dan BANGUNAN di Ba`qi. Wafaul Wafa jilid 2 m/s 84.
0 comments:
Post a Comment