BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ

خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُون

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka . Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"

(Al-An'am:32)

25.1.09

Tarekat Menurut Ahli Sufi

Banyak konotasi yang diberikan oleh ulama tasawuf dalam menterjemahkan pengertian tarekat. Antaranya ialah, Shaykh Ahmad al-Khatib. Beliau mentakrifkan tarekat sebagai jalan kepada Allah  dengan mengamalkan ilmu tauhid, feqah dan tasawuf.


Shaykh al-Hafiz cAbd Allah bin al-Siddiq al-Ghumariy mentakrifkan tarekat sebagai satu ilmu yang bersumberkan wahyu Ilahi dalam gugusan yang diperturunkan sebagai agama kepada Nabi Muhammad . Beliau mengkategorikan tarekat sebagai menduduki maqam Ihsan iaitu salah satu rukun agama yang tiga selepas Islam dan Iman. Beliau menegaskan barangsiapa yang mencacatkan maqam Ihsan yang dinamakan tarekat maka pincang agamanya tanpa syak kerana meninggalkan salah satu dari rukunnya . . . . Selanjutnya beliau menyifatkan bahawa motif yang dibawa oleh tarekat ialah maqam Ihsan selepas sahihnya Islam dan Iman.


Seorang tokoh Naqshabandiah al-Khalidiyyah yang terkenal iaitu Shaykh Muhammad Amin al-Kurdiy mentakrifkan tarekat sebagai ketakwaan dan menghampirkan diri kepada Allah. Proses ini bermula dengan menempuhi rintangan dan menaikkan maqamat (kedudukan) darjat manusia.


Shaykh al-Sayyid al-Sharif Ali bin Muhammad bin Aliy al-Jurjaniy mengertikan tarekat sebagai satu perjalanan kerohanian yang khusus yang dilalui oleh orang-orang yang berjalan (al-Salikun) menuju kepada Allah, di mana dalam perjalanan tersebut mereka perlu merentasi pelbagai rintangan dan mengalami bermacam peningkatan kerohanian dalam pelbagai maqam.

Shaykh al-Junaid al-Baghdadiy pernah menegaskan: “Tarekat menuju kepada Allah semuanya tertutup kecuali bagi mereka yang mengamalkan sunnah Nabi .”


Berdasarkan kepada beberapa definisi di atas jelaslah kepada kita bahawa tarekat adalah satu jalan, cara atau ritual tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah  dengan mengamalkan ilmu tauhid, feqah dan tasawuf sebagai dasar utama. Ini bermakna bahawa pengamalan yang perlu dilaksanakan bagi memperoleh kejayaan dalam mencapai taraf kesufian itu diusahakan dengan penuh kesungguhan dalam lingkungan asas dan disiplin yang jelas. Maka tarekat itu diasas dan dikembangkan oleh masyarakat Muslim dalam tamadun mereka menjadi institusi yang khusus dengan diberikan ciri, kaedah dan peraturan yang tersendiri. Maka dengan itu tarekat perlu difahami sebagai himpunan sejumlah pegangan, tingkah laku serta adab yang diasas dan ditetapkan oleh kumpulan sufi : atau secara teknikal lagi istilah ini merujuk kepada metod memberi panduan dan tunjuk ajar akhlak dan kejiwaan yang digunakan oleh seorang shaykh dalam usaha mendidik para muridnya.


Hasilnya, bolehlah dikatakan bahawa istilah tarekat yang mempunyai institusi yang khusus ini merujuk kepada cara, kaedah atau peraturan-peraturan khusus yang diikuti dan dihayati tuntutan dan kehendaknya oleh seseorang murid di bawah naungan satu kumpulan kesufian yang mengikuti panduan daripada seorang shaykh yang terkemuka. Di samping itu, istilah ini juga boleh dirujuk kepada kumpulan individu dari kalangan para murid yang mengasosiasikan diri mereka dengan seseorang shaykh tertentu dan tunduk patuh kepada peraturan-peraturan yang cukup ketat dalam hubungan dengan suluk kerohanian.

Sumber: Nabiha Al-Khalidiy

0 comments: